Pemain mahu kembalikan kegemilangan Red Giants

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Skuad Merah Kuning kendalian Mehmet Durakovic disandarkan harapan besar untuk mengembalikan kegemilangan Red Giats yang semakin tenggelam berbanding lakaran sejarah panjangnya sebelum ini.

Bagaimanapun, bukan mudah buat Selangor yang kehilangan tiga tonggak utama musim lalu, penjaring terbanyak Liga Super 2014, Paulo Rangel dan dua pemain kebangsaan S Kunanlan dan Mohd Faizal Marlias.

Selangor yang mengekalkan bajet sederhana mengekalkan sebahagian besar pemain tempatan termasuk seorang daripada empat pemain import musim lalu, Andik Vermansah dari Indonesia, lapor Selangor Kini semalam.

Kekosongan Rangel diisi Guilherme De Paula Lucrecio, penyerang dari Brazil.

Pun begitu, Red Giants berjaya membariskan beberapa tenaga tempatan seperti S Subramaniam, Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Norazlan Razali dan K Thanaraj dengan keyakinan mampu memacu jentera pasukan musim ini.

Pemain Selangor musim ini juga dibarisi pemain muda, bekas pemain Harimau Muda A, Nazmi Faiz Mansor, Ahmad Hazwan Bakri, A Thamil Arasu dan K Gurusamy.

Gandingan muka baru dan lama akan memperkukuhkan barisan pemain Skuad Selangor musim 2015 ini bagi melakar episod baru pasukan itu.

Kesemua pemain diperkenalkan kepada orang awam dan penyokong Red Giats dalam satu acara rasmi di Pentas Utama Dataran SACC Mall, Shah Alam.

Pada majlis itu, Mohd Shahrom Abdul Kalam diangkat sebagai kapten pasukan.

“Kami terapkan semangat kekeluargaan dalam pasukan dan saya yakin setiap pemain ada misi dan visi yang sama untuk naikan semula nama Selangor di persada sukan bola sepak negara.

“Hasrat mengembalikan kegemilangan Selangor satu kerja dan amanah yang berat, tetapi pasukan kami akan sedaya upaya buat yang terbaik untuk capai hasrat itu,” katanya.

Sementara itu, Nazmi Faiz yang menyarung jersi keramat nombor 10 berkata beliau semakin bersemangat untuk mempamerkan persembahan dan aksi yang terbaik buat Selangor.

“Ini adalah negeri saya sendiri, sebagai anak jati saya akan beri yang terbaik untuk musim ini,” katanya sambil menambah kesempatan menyarung jersi keramat adalah satu penghargaan buat dirinya.

“Bola sepak adalah kerjaya saya, fokus saya adalah bekerja dengan bersungguh-sungguh, jersi nombor berapa perkara kedua sebaliknya fokus untuk kemenangan pasukan adalah keutamaan,” jelasnya.

Senarai pemain:
Penjaga Gol: Norazlan Razali, Mohamad Hamsani Ahmad, Muhammad Syamim Othman

Pertahanan: Robert Cornthwaite, Mohamad Azmi Muslim, Mohd Shazlan Alias, Muhammad Shahrom Abdul Kalam, S Suramaniam, Mohd Bunyamin Omar, Rizal Fahmi Ad Rosid, Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham

Pemain Tengah: Andik Vermansah, Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Mohd Raimi Md Nor, S Veenod, Mohd Fittri Syazwan Raduwan, K Gurusamy, A Thamil Arasu, Ahmad Hazwan Bakri, K Thanaraj, Saiful Ridzuwan Selamat

Penyerang: Leandro Dos Santos Oliveira, Guilherme De Paula Lucrecio, Abdul Hadi Yahaya, Muhammad Afiq Azmi

Share on Myspace