Janganlah mendiamkan diri bila harga minyak turun

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Jika mahu harga barang diturunkan ekoran penurunan harga minyak, maka pengeluar dan pengilang mestilah disasarkan terlebih dahulu.

"Dalam hal ini, ia sebenarnya bukanlah salah mana-mana pihak yang mendesak penurunan harga minyak tetapi kerajaan seharusnya lebih memainkan peranannya sebagai pihak yang ada kuasa dalam negara ini," tulis Shahbudin Husin dalam blognya, semalam.

Menurutnya, jika ketika minyak naik dahulu, pihak penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dilaporkan turut aktif memantau harga barang agar tidak membebankan pengguna, seharusnya ketika ini mereka juga perlu aktif sama melakukan kerja-kerja turun padang.

Baginya, inilah masanya menteri berkenaan, Datuk Hasan Malek perlu memanggil pengeluar dan pengilang agar menurunkan harga hasil keluaran mereka.

Kemudian, katanya buatlah pula pemantauan di pasar-pasar atau di peringkat bawahan agar harganya yang sampai kepada pengguna juga turun.

"Tetapi adakah kita dengar pengeluar dan pengilang dipanggil? Adakah juga kita dengar penguatkuasa kementerian turun padang? Adakah juga kita dengar Hasan Malek bersuara?" tanya beliau.

Hakikatnya, ulas beliau apabila harga minyak turun, walaupun akan menyebabkan rakyat lebih selesa menjalani kehidupan, penurunan harga barang hendaklah juga dipastikan berlaku.

Katanya, pembangkang sudah bersuara mendesak penurunan harga minyak dan kebetulan pula ia selaras dengan turunnya harga minyak dunia, kini sepatutnya giliran kerajaan pula menjalankan kerja-kerjanya untuk memastikan harga barang turun sama.

Sehubungan itu, menurutnya lagi, menteri dan kementerian yang bertanggungjawab kenalah buat kerja dengan lebih cekap dan efisien lagi.

"Janganlah hanya buat kerja atau bising-bising bila harga minyak naik tetapi mendiamkan diri bila harga minyak turun," tulisnya lagi.

Kelmarin, kementerian mengumumkan harga baru minyak bagi Februari 2015 iaitu petrol RON95 dan diesel adalah RM1.70 seliter manakala RON97 pula RM2.00 seliter. - HARAKAHDAILY 2/2/2015

Share on Myspace