Pemuda PAS Perak ucap tahniah kepada Kazim Elias

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Perak mengucapkan tahniah kepada Pengasas Pusat Pendidikan Al-Barakah, Datuk Mohammad Kazim Elias di atas penganugerahan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) sempena Hari Wilayah Persekutuan semalam.

Ketuanya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss menyampaikan ucapan tahniah itu dalam surat kepada Kazim, hari ini.

Kandungan surat itu seperti di bawah.

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang yang beriman akan diri dan harta benda mereka dengan bahawa mereka akan beroleh syurga disebabkan mereka berjihad pada jalan Allah. (Surah At Taubah: Ayat 111)

Dengan segala hormatnya, saya mengambil kesempatan merakamkan ucapan tahniah kepada Y.Bhg. Datuk di atas penganugerahan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) sempena Hari Wilayah Persekutuan semalam.

Saya yakin dengan penganugerahan ini akan memberikan rangsangan dan iltizam kepada Y.Bhg. Datuk di dalam bidang dakwah serta memartabatkan syiar Islam khasnya dengan lebih luas lagi.

Saya doakan Y.Bhg. Datuk diberikan kekuatan dan kesihatan di dalam menjalan tugas yang penuh mencabar ini, semoga usaha Y.Bhg. Datuk diberikan ganjaran yang setimpal hendaknya. 

Sementara itu, Kazim menerusi facebooknya semalam memuatkan ucapan tahniah daripada Ahli Jawatankuasa dan Warga Pusat Pendidikan Al-Barakah.

Menjunjung Kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Almu`tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Badlishah diatas perkenan Tuanku mengurniakan Darjah Panglima Mahkota Wilayah juga kepada Kem.Wilayah Persekutuan yang membawa gelaran Datuk kepada Ustaz Kazim Elias...

*Sekalung tahniah daripada Ahli Jawatankuasa dan Warga Pusat Pendidikan Al-Barakah. - HARAKAHDAILY 2/2/2015

Share on Myspace