Kenyataan menteri boleh timbul provokosi kaum

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Amat memalukan seorang menteri kabinet terpaksa menggunakan isu perkauman dalam status FBnya untuk membuat tekanan kepada komuniti peniaga," kata Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Katanya, apa yang harus ditekankan ialah sikap mengambil kesempatan peniaga yang merugikan pengguna tanpa perlu merujuk kepada mana-mana kaum.

Menurutnya lagi, dengan mengaitkan amalan itu kepada kaum tertentu menteri itu telah membantu melebarkan lagi jurang antara kaum di Malaysia.

"Kita harus menentang budaya lintah darat peniaga bukan mengaitkan dengan mana-mana kaum.

"Kenyataan sebegini boleh menimbulkan kebencian dan provokosi kaum malah jika ada bukti salah guna atau penipuan tanda halal seperti yang didakwa, perkara itu harus dirujuk kepada pihak berkuasa yang beliau lebih arif prosesnya," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberikan penjelasan dalam facebooknya semalam mengenai status di FB berhubung perkara itu.

Ya, statement itu bukan ditujukan kepada semua kaum Cina tetapi kepada pemborong dan peniaga Cina yg masih tidak mahu menurunkan harga walaupun harga minyak sudah turun.

Sewaktu kenaikan harga minyak mereka gunakan alasan, seolah-olah sengaja dilakukan bagi wujudkan kemarahan kepada kerajaan.

Bagi saya pengguna tidak harus mengharapkan kepada kerajaan semata-mata untuk lindungi diri mereka dari kenaikan harga tapi perlu gunakan kuasa mereka sebagai pengguna untuk turunkan harga spt boikot dan sebagainya.

Pengguna majoriti manakala peniaga adalah minoriti. Tentu kuasa majoriti mampu mengatasi suara minoriti.

Tentang Melayu untuk boikot peniaga Cina ini saya respond kepada FB yg mana mereka marah-marah kepada peniaga-peniaga Cina yang degil tidak mahu turunkan harga.

Jadi prinsipnya sama iaitu mereka yang majoriti dan gunakan kuasa majoriti dan tidak hanya merungut dan bercakap dalam FB semata-mata.

Tindakan mana-mana peniaga yang tidak turunkan harga barangan selepas penurunan harga minyak yang begitu banyak, adalah seolah-olah satu sabotaj untuk menaikkan kemarahan rakyat kepada Kerajaan. - HARAKAHDAILY 3/2/2015

Share on Myspace