7 kritikan sehari berbanding 3 pujian yang diterima

DR AZMAN IBRAHIM | .

SAYA membaca luahan kawan-kawan yang menyatakan kekecewaan mereka terhadap isu-isu politik yang sedang melanda Pakatan Rakyat (PR) sekarang ini sehingga sebahagian mereka mengisytiharkan secara terbuka bahawa mereka tak berminat dengan politik dan tak pernah menjadi ahli PAS walaupun sebahagian mereka menceburi bidang dakwah.

Saya raikan semua pandangan ini kerana politik adalah seni bagi segala kemungkinan. Kalau ditanya, apakah buku yang perlu kita baca untuk belajar ilmu politik, maka jawabnya terlalu banyak buku. Tetapi membaca buku belum tentu menjamin kita boleh faham politik.

Dalam dunia matematik biasa, 2 + 2 = 4 tetapi tidak dalam dunia politik. Kadang-kadang hasilnya mungkin 5 atau mungkin zero.

Dalam dunia biasa, sehari ada 24 jam dan seminggu ada 7 hari. Tetapi dalam dunia politik sehari boleh ada 26 jam dan mungkin boleh ada 8 hari seminggu.

Dalam politik kita ada kawan di mana-mana. Walaupun kereta kita rosak di tengah-tengah perjalanan dalam jarak yang jauh dari kampung halaman di waktu dinihari, tetapi kita masih ada kawan untuk dihubungi dan mereka akan segera datang membantu.

Dalam masa yang sama, kita juga ada musuh di mana-mana. Ringkasnya orang politik ramai kawan dan ramai juga lawan!

Dalam perniagaan, bila kita keluarkan modal sekian banyak dan dengan tempoh masa yang tertentu, kita boleh mengira berapa keuntungan yang bakal kita dapat. Tetapi dalam politik bukan begitu. Kita mengeluarkan sejumlah wang dari poket kita untuk belanja perjuangan, hasilnya belum tentu bila akan diperolehi malah mungkin ia cuma dinikmati oleh anak cucu kita selepas kita tiada lagi di atas muka bumi ini.

Saya bertemu ramai businessman yang menceburi bidang politik Islam dan suka menyumbang tetapi mereka mudah rasa kecewa bila dirasakan pelaburan mereka belum memberikan apa-apa hasil yang dapat dilihat.

Dalam politik kita lebih banyak memberi dari menerima. Sesiapa yang menyertai politik dengan niat untuk menerima, maka lapangan politik dalam gerakan Islam bukan tempatnya. Kaedahnya, tanya dulu apa yang telah kita bagi kepada perjuangan sebelum kita tanya apa yang parti boleh bagi kepada kita.

Dalam politik kita mungkin menerima 7 kritikan sehari berbanding hanya 3 pujian yang diterima. Sesiapa yang bertelinga nipis dan berdada sempit, politik bukanlah tempat untuk mereka.

Dalam bidang pekerjaan dan perkhidmatan, kita mungkin boleh mendapat tempat dan meningkat naik dengan kelulusan dan ijazah yang dimiliki. Tapi dalam politik jangan ingat kamu berpendidikan tinggi maka kamu akan berjaya mendapat tempat dengan mudah.

Biasa kita dengar seorang ustaz berkelulusan al-Azhar kalah dalam perebutan jawatan di peringkat kawasan dengan seorang tokoh tempatan yang cuma berkelulusan LCE.

Dalam politik, kalau seorang ahli biasa atau mereka yang belum pun menceburi bidang politik secara langsung mengeluarkan kenyataan bernada merajuk dan ingin menjauhkan diri dari politik atas alasan kecewa dengan apa yang berlaku sekarang, maka kita yang berada di peringkat pimpinan boleh merajuk sehingga 40 kali sehari berbanding saudara-saudara semua yang merajuk mungkin sekali sahaja sehari. Tapi kalau semua orang pakat merajuk belaka, siapa yang nak memimpin?

Prinsip saya mudah sahaja. Manusia ini kita tengok pada ketika dan waktu yang diperlukan. Saya berpegang dengan matlamat bahawa kita berpolitik untuk jaga agama, bukan guna agama untuk kepentingan politik. Politik bagi saya bermakna, ‘mendirikan agama dan mentadbir dunia dengan agama’.

Karenah manusia yang sangat ramai tak habis kalau kita nak bincang. Apatah lagi karenah manusia yang terlibat dengan politik.

Kalau orang luar tengok karenah ummat Islam mereka pun boleh kecewa dengan Islam. Tetapi apakah karenah yang ditampilkan seseorang penganut Islam itu mengambarkan bahawa itulah dia Islam?

Ada yang kata, saya cuma nak terlibat dengan NGO dan tak nak campur hal politik. Pandangan ini pun kita raikan. Saya orang politik dalam masa yang sama saya juga terlibat dengan NGO. Antaranya Yayasan Amal Malaysia dan NGO Media KAMI. Ada ‘bilik-bilik’ tertentu yang tak dapat dimasuki dengan uniform politik, kita masuk dengan uniform NGO. Semuanya adalah untuk Islam.

Tapi awas! Jangan sampai kita menolak politik sebagai sebahagian dari cabang Islam! - HARAKAHDAILY 3/2/2015

Share on Myspace