Kecelakaan 1MDB ditanggung negara, rakyat jelata

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "1MDB dilaporkan bertaraf tabung berdaulat Malaysia. Ertinya ia milik negara," tulis Datuk A Kadir Jasin dalam blognya.

Justeru, beliau yang menulis dalam blognya semalam menyatakan sebarang kecelakaan yang berlaku ke atas 1MDB menjadi tanggungan negara dan rakyat jelata.

Berikut tulisan penuh beliau yang bertajuk 'Ancaman Sistemik Hutang 1MDB'.

BERITA terbaru mengatakan bilion-wan (billionaire) nombor dua terkaya di Malaysia, T. Ananda Krishnan atau lebih terkenal dengan singkatan AK bersedia memberi pinjaman RM2 bilion untuk atasi masalah hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sesiapa saja yang kenal atau tahu modus operandi perniagaan AK akan bertanya: Apakah 1MDB yang ditubuhkan sebagai tabung berdaulat (sovereign fund) negara akhirnya menjadi hak milik AK?

Tidak banyak dilaporkan dan dibahaskan secara terperinci mengenai syarikat tabung berdaulat itu dalam media berbahasa Melayu berbanding media berbahasa Inggeris.

Jadi izinkan saya bercerita selengkap yang mungkin mengenainya agar orang Melayu khususnya dan pengguna bahasa Melayu amnya boleh memahami isu ini dengan lebih mendalam. Berikut adalah maklumat dan isu pokok mengenainya:-

1. 1MDB dilaporkan bertaraf tabung berdaulat Malaysia. Ertinya ia milik negara. Sebarang kecelakaan yang berlaku ke atasnya menjadi tanggungan negara dan rakyat jelata.

2. Asal 1MDB adalah Terengganu Investment Authority (TIA atau Lembaga Pelaburan Terengganu) yang bertujuan menjamin pembangunan ekonomi Terengganu secara jangka panjang dan lestari sambil memelihara kebajikan ekonomi rakyat Terengganu.

3. Ia ditubuhkan pada tahun 2008 ketika pentadbiran (Tun) Abdullah Ahmad Badawi dan pada waktu (Datuk Seri) Mohd Najib Abdul Razak menjadi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

4. Diberitakan TIA mempunyai dana (modal) permulaan RM500 juta, tetapi tidak jelas apa yang terjadi dengan wang itu. Ada yang mengatakan ia hangus.

5. TIA diubahkan menjadi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada bulan Januari 2009. Pada 22 Julai tahun itu, Mohd Najib, sebagai Perdana Menteri, berkata keputusan menjadikan TIA badan kerajaan pusat bertujuan memperluaskan manfaatnya kepada seluruh rakyat Malaysia.

6. 1MDB bolehlah dianggap anak didik Mohd Najib. Beliau adalah Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB yang berupa badan pembuat dasar tertingginya.

7. Dalam temu ramah dengan TV3 pada 21 Januari lepas, Mohd Najib berkata kerajaan hanya memperuntukkan sebanyak RM1 juta sebagai modal kepada 1MDB.

8. Mohd Najib adalah ketua eksekutif de facto 1MDB dalam kapasiti beliau sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat.

9. Pada 30 September 2009, 1MDB dan rakan strategiknya, PetroSaudi International Limited mengumumkan penubuhan syarikat usaha sama AS$2.5 bilion yang bertujuan mempelopori pengaliran masuk pelaburan terus Arab ke Malaysia.

10. 1MDB berkembang pesat di Malaysia dan luar negara dengan membeli aset-aset prasarana seperti penjana elektrik, membeli konsesi perlombongan dan memajukan hartanah. Ia meminjam (berhutang) dengan banyak dengan menjual bon di dalam dan luar negara.

11. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014 ia mempunyai harta bernilai RM51.4 bilion, hutang RM49.97 bilion dan menderita kerugian RM665.4 juta.

12. Ia menjadi kontroversi apabila parti-parti pembangkang, media atas talian, media ekonomi dan penganalisis pasaran mula melaporkan kegiatan luar biasa yang melibatkan seorang misteri bernama Jho Lo (Jho Taek Lo), anak seorang tauke Cina Pulau Pinang. Jho Lo dan beberapa orang rakan Arabnya dari PetroSaudi dikatakan menjadi“otak” (brain) di sebalik kegiatan luar biasa1MDB.

13. Mereka ini pula menjalani kehidupan mewah (high life) di pusat-pusat hiburan Amerika dengan melibatkan tetamu-tetamu bintang filem, termasuk pelakon filem lucah, dan mendakwa akrab dengan “mogul” filem Hollywood.

14. Dakwaan ini menjadi lebih berwibawa apabila salah seorang daripada mereka, Riza Abdul Aziz, berkongsi menerbitkan filem berjudul “The Wolves of Wall Street” pada tahun 2013 dengan belanja AS$100 juta (kira-kira RM330 juta). Riza adalah anak (Datin Seri) Rosmah Mansor dengan suami pertamanya.

15. 1MDB sekali lagi menarik minat orang ramai apabila ia dilaporkan berbelanja mewah menaja kempen Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum 2013, khususnya di Pulau Pinang.

16. Enam hari sebelum pengundian PRU 2013 ia membeli 234 ekar tanah pegangan bebas dengan harga RM1.38 bilion di negeri itu. Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dilaporkan berkata harga yang dibayar oleh 1MDB adalah 95% lebih tinggi daripada penilaian bagi tanah di sekitar kawasan itu pada tahun 2011. Tanah yang dibeli itu pula mempunyai ramai setinggan. Ini mencetuskan spekulasi yang Jho Lo, sebagai anak tauke Pulau Pinang, berperanan dalam urus niaga itu.

17. Satu lagi berita sensasi ialah beberapa hari sebelum hari mengundi PRU 2013, 1MDB membawa keluar wang sebanyak RM7.18 bilion untuk dilaburkan dalam bentuk Segregated Portfolio di pusat kewangan luar pantai Cayman Islands.

18. Soal yang kerap ditanya ialah mengapa 1MDB tidak melabur wang itu di Labuan yang setaraf dengan Pulau Cayman. Pengurusan 1MDB dilaporkan berkata Labuan tidak mempunyai instrumen kewangan yang mereka idamkan. Kerajaan mendakwa pelaburan itu telah dilunaskan dan hasilnya dibawa pulang. Tetapi pada 10 Januari lalu, Presiden dan Pengarah Eksekutif baru 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, dilaporkan berkata 1MDB gagal memenuhi jadual membawa pulang kesemua wang tersebut.

19. Serentak itu, 1MDB juga gagal membayar balik hutang berjumlah RM5.5 bilion yang diperolehnya daripada konsortium bank tempatan yang dikenal pasti sebagai Maybank, AmBank dan RHB. [Rujukan kepada CIMB terpaksa dipadamkan kerana sebab-sebab tertentu. Sila ambil maklum.]

20. Saya juga menghantar SMS kepada seorang yang berkedudukan tinggi dalam kerajaan dan pakar dalam hal kewangan serta perbankan. Jawapan beliau berbunyi: “I think your info is inaccurate. You may want to refer to The Edge report. Lots of details there. I believed Edge mentioned about the RM5.5 billion loans from a consortium of five lenders. A portion of the long term debts is supported by cash flow. Another portion of short term loan is to be paid from IPO proceeds or capital injection. As part of credit risk management, banks will normally structure financing based on sources of payment i.e what is the first way out, second way out etc. Also the banks will rely on appropriate covenants and security. Anyway, being a former banker, I can attest that Malaysian banks are well capitalise, well managed with good risk management, has good asset quality and are well supervised and regulated by Bank Negara. Whatever risks they underwrite must be within their risk appetite and guidelines. On the RM5-billion bonds guaranteed by government, the last transacted price (January 26) was at a yield of 4.9% compared to 5.75% coupon, meaning to say that they are traded at a premium. Hope this helps. Regards.” [Saya fikir maklumat anda tidak tepat. Anda mungkin mahu merujuk kepada laporan The Edge. Ada banyak maklumat di situ. Saya percaya The Edge ada menyebut jumlah kira-kira RM5.5 bilion (yang diperoleh) daripada konsortium lima buah bank. Sebahagian daripada hutang jangka panjang itu disokong oleh pengaliran tunai. Sebahagian lagi hutang jangka pendek akan dibayar balik daripada pendapatan IPO (keluaran awam permulaan) atau suntikan modal baru. Sebagai sebahagian daripada pengurusan risiko pinjaman, bank-bank lazimnya akan menyusun pembiayaan berdasarkan sumber pembayaran balik iaitu apakah jalan keluar pertama, kedua dan seterusnya. Bank-bank juga akan bergantung pada perjanjian dan jaminan yang bersesuaian. Apa pun, sebagai bekas eksekutif perbankan, saya boleh memberi jaminan bahawa bank-bank Malaysia mempunyai modal yang cukup besar dan diurus berasaskan amalan risiko yang baik, mempunyai aset bermutu dan dikawal selia serta diawasi dengan rapi oleh Bank Negara. Apa jua risiko yang mereka jamin haruslah dalam lingkungan selera dan garis panduan mereka. Mengenai bon RM5 bilion yang dijamin oleh kerajaan, harga urus niaga terakhir (Januari 26) membawa hasil 4.9% berbanding nilai kupon 5.75%. Ertinya, bon-bon itu diniagakan pada kadar harga tinggi (premium). Harap penjelasan ini membantu. Salam.”

21. Apa yang beliau katakan ialah lima buah bank tempatan telah memberi pinjaman RM5.5 bilion kepada 1MDB. Walaupun 1MDB gagal bayar balik hutang itu dalam jangka masa yang dijanjikan, ia mempunyai keupayaan untuk menjelaskannya.

22. Kalau 1MBD gagal membayar balik hutang itu, bebannya akan ditanggung oleh kerajaan kerana ia memberi jaminan berjumlah RM5 bilion. Kesimpulannya rakyat jelata dan pembayar cukailah yang akan tanggung bebannya.

23. 1MDB sudah beberapa kali dapat sambungan dan tarikh terakhir menjelaskan hutang itu adalah Jun ini. Kalau ia gagal juga, maka jadilah hutang lapuk (non-performing loan/NPL) dan bank-bank yang memberi pinjaman terpaksa membuat peruntukan dalam akaun untung-rugi mereka.

24. Bank yang paling teruk hadapi risiko itu adalah Maybank milik Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan RHB milik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (EPF). Inilah yang saya ulangi berkali-kali. Kita tidak boleh membenarkan syarikat bersangkutan kerajaan (GLC) dan tabung pelaburan bersangkutan kerajaan (GLIC) dijadikan lubuk duit bagi membiayai 1MDB.

25. Selain itu, sistem kewangan dan perbankan negara terdedah kepada ancaman sistemik (systemic risk) kalau 1MDB gagal membayar balik hutangnya yang begitu besar. Ada sumber mengatakan keseluruhan hutang dan tanggungan 1MDB kini bersamaan 4% keluaran dalam negara kasar (GDP) – hampir serupa dengan konglomerat Renong-UEM ketika krisis kewangan Asia 1997/98 yang memaksa kerajaan melakukan operasi penyelamatan dengan mengambilnya balik daripada (Tan Sri) Abdul Halim Saad.

27. Kebimbangan mengenai kegagalan sistemik ini menjadi ketara apabila Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, berkata Bank Negara tidak akan sekali-kali membenarkan mana-mana syarikat menyebabkan wabak sistemik ke atas sistem perbankan negara. Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kegagalan 1MDB membayar balik hutang dalam masa yang dijanjikan.


28. Tanpa kegagalan sistemik pun, masalah hutang dan modus operandi perniagaan 1MDB berkemungkinan menyebabkan ancaman terhadap penarafan berdaulat (sovereign rating) Malaysia. Akhbar The Star melaporkan pada 13 Januari lalu yang agensi penarafan antarabangsa Fitch mengekalkan penarafan Malaysia sebagai “negatif” – setaraf dengan Mongolia (negara mendiang Altantuya Shaariibuu) – sedangkan lapan lagi negara pasaran membangun ditarafkan sebagai “stabil”.

29. Mana-mana orang yang faham ekonomi akan gementar apabila disebut “systemic failure”. Itulah yang hampir-hampir melanda kita ketika krisis 1997/98 tetapi, Alhamdulillah, berjaya disekat oleh Perdana Menteri ketika itu, (Tun) Dr Mahathir Mohamad.

30. Sama ada 1MDB mampu membayar faedah dan seterusnya melunaskan hutangnya bergantung kepada kejayaan menyenaraikan aset jana kuasa yang telah beberapa kali ditangguhkan.

31. Pada 16 Januari lalu, media massa melaporkan bahawa Tawaran Awam Permulaan (IPO) 1MDB yang pada mulanya dijadualkan April ini telah terpaksa ditangguhkan sehingga separuh kedua tahun ini. Ia dijangka menghasilkan AS$3 bilion (kira-kira RM10.74 bilion).

32. Kesimpulannya, sama ada kita suka atau tidak, isu 1MDB ini sudah menjadi isu yang melibatkan kita semua dan sekiranya gagal ditangani akan membebankan kita dan anak cucu kita untuk jangka masa yang lama. Jadi kita wajib faham dan mendesak agar tindakan terbaik diambil bagi mengelakkan sebarang kecelakaan. Inilah antara beban besar yang menguji kewibawaan Mohd Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Wallahuaklam.

Nota Kaki: Penulis adalah juga Adjunct Professor, Othman Yeop Abdullah (OYA) Graduate School of Business, Universiti Utara Malaysia, Kedah.

Share on Myspace