Datuk Asri Muda: Meluruskan sejarah sosok besar PAS

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

SESEPUH PAS ini mempunyai rakaman sejarah yang berwarna-warni, bermula dengan gerakan pemuda kiri seterusnya memimpin syabab Hizbul Muslimin, menjadi petugas sepenuh masa PAS, seterusnya mendaki puncak sebagai pemimpin PAS. Beliau menjadi Presiden PAS yang keempat, dengan memangku jawatan Dr Burhanuddin pada tahun 1964 yang mendekam dalam tahanan ISA. Beliau juga menjadi Menteri Besar Kelantan pada tahun 1964 sehinggalah tahun 1972, juga menjadi Menteri kabinet semasa PAS dalam kerajaan campuran. Menubuhkan HAMIM pada tahun 1983, seterusnya menganggotai Umno sehinggalah beliau meninggal pada tahun 1992.

Di Malaysia, perkembangan senario politik pasca tragedi 13 Mei 1969 telah mendesak PAS menyertai Kerajaan Campuran pada 1973, isu besar ini dibahas hangat dalam muktamar khas parti itu dalam tahun 1971. Penerimaan ahli PAS begitu berwarna-warni, bahkan Dewan Pemuda PAS yang pada awalnya menolak pembentukan Kerajaan Campuran ini kemudiannya telah berjaya memanfaatkan kedudukan PAS dalam kerajaan untuk menyemarakkan lagi kebangkitan Islam yang berlangsung dalam dekad 70-an.

Kongres Dewan Pemuda PAS pada 21 September 1973 yang memilih Ustaz Abdul Wahab Yunus, Ahli Parlimen Dungun sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS yang baru menggantikan Ustaz Hassan Shukri, alumni Universiti Baghdad telah meletakkan fokus supaya Dewan Pemuda PAS dapat berfungsi dengan efektif untuk menggerakkan jentera kerajaan sebagai alat untuk mengembangkan kesedaran Islam dalam masyarakat dan negara ini. PAS telah melunaskan tajribah politik yang sangat besar apabila Datuk Asri mengambil langkah untuk parti Islam ini berada di koridor kuasa, bahkan intrig dan polemik berlangsung dalam menentukan hala tuju harakatul ummah ini, sama ada bersendirian atau bersama pemuafakatan politik dalam BN.

PAS terbukti berjaya memainkan peranan yang amat berkesan dalam mencanangkan kesedaran Islam dalam kerajaan. Melalui penyertaan beberapa pimpinan Dewan Pemuda PAS sebagai menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen, exco negeri, Ahli Parlimen, Adun, ahli lembaga pengarah badan-badan kerajaan dan sebagainya, pelbagai program penerapan nilai-nilai Islam berjaya dilaksanakan. PAS telah berjaya memperkenalkan kesenian Islam, menghapuskan arak dalam majlis-majlis rasmi kerajaan, menghapuskan tempat minum arak (bar) di Parlimen dan memperkenalkan kuliah agama di jabatan-jabatan kerajaan.

Badan Dakwah seperti YADIM dan PERKIM digerakkan, tentangan terhadap arak, perjudian dan filem lucah ditingkatkan, mengadakan seruan-seruan Islam kepada kakitangan kerajaan, meningkatkan prasarana pendidikan Islam, menggesa rakyat bersemangat al-Quran, menanamkan semangat tauhid dan keimanan sebagai asas disiplin anggota tentera serta menambahkan rancangan bercorak Islam di radio dan televisyen. Maktab Perguruan Islam dan Bank Islam juga wujud di atas cadangan PAS. Perkembangan ini merupakan fasa pertama penerapan nilai- nilai Islam dalam kerajaan jauh sebelum Anwar dan penyokongnya menyertai pihak kerajaan pada tahun 1982.

Dato Asri pernah mengalami fasa kurang harmoni dengan Dewan Pemuda PAS Pusat, Ketika pergeseran Dewan Pemuda PAS-Datuk Mohd Asri sedang menebarkan aroma, di luar Dewan Pemuda PAS, kumpulan radikal anak muda Islam seperti ABIM  sedang hebat merangsang supaya ulama mengambil alih kepemimpinan PAS terutama pasca kekalahan gerakan Islam itu di Kelantan pada tahun 1978. Kemasukan tokoh-tokoh ABIM seperti Ustaz Fadzil Mohd Noor, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz Nakhaie Ahmad, Syed Ibrahim Abdul Rahman, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman dan beberapa tokoh besar ABIM yang lain ke dalam PAS telah menguatkan lagi asakan Dewan Pemuda PAS terhadap kepemimpinan Datuk Mohd Asri.

Dunia Islam sedang bergelombang kebangkitan anak muda menyongsong perjuangan revivalism Islam, antara tanda arasnya ialah pencerobohan Soviet di Afghanistan, Revolusi Iran, penawanan Masjidilharam oleh puak pelampau, kebangkitan Islam di Afrika Utara dan sebagainya. Aromanya turut menebar ke negara ini, terutama melalui gerakan pentarbiahan anak muda Islam.

Pada 1978, Dewan Pemuda PAS telah meluluskan satu usul supaya pemilihan kepemimpinan parti dilakukan secara syura dan ulama diberikan kedudukan yang lebih strategik. Usul ini dilihat seperti menyindir Datuk Mohd Asri yang dilihat mengamalkan 'demokrasi terpimpin' dalam kepemimpinannya. Ada pemberontakan dalaman yang dihidu oleh almarhum terutama generasi muda PAS yang bergerak melalui platfom usrah dan kegiatan kaderisasi dakwah yang lain.

Kekalahan PAS dalam Pilihan Raya 1978 di Kelantan juga telah memberi makna bermulanya zaman kejatuhan PAS yang hanya menang di dua buah DUN sahaja. Kalangan pendokong tegar PAS iaitu ulama dan ahli-ahli Dewan Pemuda PAS, 1978 dianggap sebagai 'turning point' ke arah kebangkitan semula PAS. Sidang Ulama PAS di pondok Pasir Tumbuh Kelantan pada tahun 1978, meluluskan usul supaya gerakan ini dipimpin oleh pemimpin yang faqih. Semua ini menjadi rencah bermulanya asakan kepimpinan ulama yang akhirnya didokong oleh Dewan Pemuda PAS beberapa tahun selepas itu.

Dewan Pemuda PAS telah memutuskan untuk mengadakan Muktamar Tahunan Ke-23 berasingan dengan Muktamar PAS Pusat. Datuk Mohd Asri menyifatkan tindakan Dewan Pemuda PAS sebagai 'pengisytiharan perang' terhadap beliau. Apatah lagi dengan fenomena Haji Hadi yang mula menebar pesona kepada ahli-ahli PAS di seluruh negara, arus kekaguman terhadap ulama yang vokal itu bergelombang dan memercikkan suara supaya PAS memposisikan diri sebagai gerakan Islam yang syumul. Muktamar pada 1982 itu telah meluluskan dua usul iaitu usul kepemimpinan ulama dan usul penubuhan Majlis Syura Ulama PAS yang menjadi punca kejatuhan Datuk Mohd Asri pada 22 Oktober 1982.

Insan ini tetap berjasa kepada PAS, walau hayatnya tidak habis bersama harakatul ummah ini. Beliau terlibat menyuburkan pendidikan dalam PAS semasa menjadi Menteri Besar Kelantan, ramai pelajar Kelantan mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara. Pada tahun 1964, seramai 10 orang pelajar ditaja belajar ke Universiti Baghdad, mereka antaranya ialah Ustaz Hasan Shukri, Ustaz Mohamad Daud, Ustaz Hashim Jasin,  Ustaz Dahlan, dan lain-lain lagi. Kota Bharu menjadi pusat penerbitan buku dan kegiatan ilmu sangat subur, Kelantan menerima ramai tokoh ilmuwan dari luar negara pada zaman beliau termasuk Prof HAMKA, bahkan YPTIK, sekolah-sekolah agama  berkembang dizaman pemerintahan Datuk Asri. – HARAKAHDAILY 4/2/2015

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Politik Pusat)

Share on Myspace