RM2.6 juta: Tiada pilihan, tindakan ikut undang-undang

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Perbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap lapan bekas pegawai mantan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berikutan keengganan memulangkan wang gratuiti RM2.6 juta dalam tempoh disyaratkan.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, MBI akan bertindak seperti diputuskan sebelum ini kerana tempoh 14 hari yang diberikan sudah berakhir.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Menghafaz Al-Quran peringkat negeri di Dewan Jubli Perak, Shah Alam, malam tadi.

“Mereka tidak pulangkan, sebaliknya menuntut bayaran lebih besar daripada sepatutnya. Kita tiada pilihan melainkan bertindak mengikut saluran undang-undang.

“Peguam dilantik MBI sudah memulakan prosiding berkenaan,” katanya dipetik Selangor Kini.

MBI sebelum ini mengutus surat kepada lapan bekas pegawai Abdul Khalid itu bagi memulangkan kembali wang berkenaan dalam tempoh 14 hari tetapi mereka gagal berbuat demikian.

Semua bekas pegawai itu dilaporkan menerima bayaran pampasan pada penghujung perkhidmatan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

Share on Myspace