Boikot peniaga Cina: Taktik Umno alih isu

DATUK MOHD ARIFF SABRI ABDUL AZIZ | .

DARIPADA bertanya mengapa harga barang tidak turun, elok kita tanya mengapa pendapatan tidak naik? Atau jangan suruh rakyat boikot penjual dan pembekal - suruh rakyat kurang makan.

Bukankah kerajaan suka kata- kurangkan makan itu dan ini supaya badan jadi sihat, kencing manis kurang, darah tinggi menurun?

Kurang makan ayam, ikan, sayur dan beras. Atau kerana kerajaan suka campur tangan dalam pasaran, mengapa tidak kerajaan bertindak sebagai pembekal dengan meliberalkan sumber bekalan?

Saya tidaklah sampai hati menyuruh sahabat saya orang Pahang, menteri pertanian jadi penjual makanan dan sebagainya. Takkanlah kaki tangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani beratur tepi jalan jual sayur dan ikan. Kalau Tajudin Rahman (Datuk Sri Tajuddin Abdul Rahman, Timbalan Menteri  Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani) yang jual tepi jalan, pembeli lari tengok muka dia yang bengis.

Seingat saya, kakitangan kementerian terbabit bertindak sebagai pengeluar makanan semasa Sanusi Junid jadi  menteri pertanian. Itu pun kerana semua orang tahu Sanusi Junid gila-gila orangnya.

Saya hanya mohon menteri pertanian membanyakan sumber bekalan makanan dan barangan lain.

Jika ada satu pembekal beras, buka pasaran supaya semua orang boleh impot beras dari mana-mana sahaja. Paling baik, musnahkan monopoli Bernas. Buka pasaran untuk impot makanan lain. Jangan beri AP kepada kawan-kawan Umno sahaja. Pecahkan monopoli impot bawang putih dan bawang merah.

Tapi situ pun ada masalah. Kerajaan Umno telah memusnahkan ekonomi dan merosakkan kredibiliti ekonomi negara kita, menyebabkan kos impot naik. Harga Ringgit jatuh merudum - sekarang RM3.60 -3.63 kepada 1USD. Jika import kita dalam USD, ertinya, semua makanan yang kita impot menjadi mahal.

Jadi kita tanya kerajaan, mengapa awak tidak kukuhkan mata wang RM?

Baik kita boikot kerajaan yang tidak cekap mengurus ekonomi kita.

Rakyat lebih suka pendapatan naik daripada membising menurunkan harga. Harga kalau sudah naik, sukar mahu turun sebab rakyat faham manakala menteri tidak faham ekonomi - prices are sticky downwards.

Kos hidup semakin meningkat. Harga barang makan mengikut indeks pengguna, semua nya naik- termasuk harga kangkung.

Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia; indeks harga pengguna naik 2.7 peratus pada bulan Disember. Harga makanan dan minuman bukan alkohol naik pada kadar purata 2.4 peratus. harga Kangkung yang Najib jerit sana sini pun naik 2.8 peratus. Harga ayam, telur ayam, mentimun, kailan, sawi pun naik.

Jadi mengapa tidak tanya kenapa tidak naikkan pendapatan? Atau berani atau tidak menteri pertanian atau sesiapa isytihar, kita turunkan pendapatan orang ramai kerana sekarang harga barang sudah turun?

Ini bukan cara mengurus ekonomi negara. Jangan kita pandir sangat dan mencetuskan huru-hara. Kita jangan khuatir dengan sokongan beberapa bekas pemimpin Umno ynag membawa banner Je suis Ismail Sabri – entah-entah antara mereka itu pemegang AP makanan yang besar.

Kita kena selidik keseluruhan rantaian bekalan. Betulkah harga minyak dan diesel turun, tapi gaji perkeja naik atau tidak? Kos pengendalian naik atau tidak? Kos alat-alat ganti kenderaaan naik atau tidak? Dan dalam rantaian bekalan ini, jumlah perkerja Melayu yang menyarai anak bini, ramai.

Jadi isu harga barangan kehidupan liat turun bukanlah isu perkauman sangat.

Orang Melayu masih tidak faham. Bahaya yang kita depani bukannya perkelahian antara Melayu dengan Cina atau dengan bangsa lain. Cerita berkelahi dengan Cina timbul apabila kerajaan Umno hendak tutup mata orang dan mengalih pandangan masyarakat daripada tata kelola mereka yang buruk. - http://sakmongkol.blogspot.com/

Share on Myspace