Mesyuarat Pakatan bincang isu Mustafa-Guan Eng

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang akan diadakan pada 8 Februari ini turut membincangkan isu Setiausaha Agung PAS dan DAP, Datuk Mustafa Ali dan Lim Guan Eng.

Mustafa berkata, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju perkara itu dibawa dalam mesyuarat tersebut yang diadakan di Pejabat Agung PAS bermula jam 2.00 petang.

Menurutnya, beliau menyatakan perkara itu dalam perjumpaan dengan Anwar di Ibu Pejabat PKR, tengah hari semalam.

"Saya terangkan kepada Anwar berhubung isu saya dengan Lim Guan Eng dan beliau faham.

"Beliau dan saya setuju supaya isu itu dibawa dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat pada 8 Februari ini di samping agenda yang lain," ujarnya kepada Harakahdaily.

Sehubungan itu, Mustafa melahirkan keyakinan isu beliau dengan Guan Eng itu dapat diselesaikan.

Katanya, Anwar sendiri mencadangkan supaya mesyuarat berkenaan diadakan sebelum rayuan kes liwat diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari.

Beliau juga menjelaskan tidak pernah menuntut Guan Eng memohon maaf berhubung isu yang timbul itu.

"Saya tak pernah tuntut Guan Eng minta maaf, tapi saya sebut untuk debat," katanya lagi.

Isu itu timbul apabila Guan Eng melabel beliau sebagai tidak jujur (dishonest) dalam isu yang berkaitan dengan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sehubungan itu, Mustafa dalam sidang media pada 28 Januari lalu mencabar Guan Eng berdebat berhubung isu pilihan raya PBT.

Dua hari kemudian, beliau dalam satu kenyataan akan membuktikan bahawa Guan Eng berbohong mengenai isu pilihan raya PBT itu. - HARAKAHDAILY 4/2/2015

Share on Myspace