Fitnah Al-Sisi pada Al-Qassam tingkat sokongan buat Palestin

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Fitnah rejim Abdul Fattah Al Sisi ke atas Briged Al Qassam sebagai pengganas tidak akan mengurangkan simpati umat Islam ke atas rakyat Palestin.

Bagi Majlis Permuafakatan Mahasiswa Selangor (MPMS), fitnah itu akan meningkatkan sokongan dan dukungan kepada mereka supaya meneruskan perjuangan sehinggalah bumi Palestin bebas dari rejim Zionis.

"Kami menyeru kepada seluruh umat Islam di negara ini khususnya golongan mahasiswa agar menolak tindakan rejim Al Sisi yang bacul ini dan mendoakan agar rakyat Palestin terus diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan mereka mendapatkan tanah air yang merdeka suatu hari nanti," ujar MPMS dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Mesir telah mengeluarkan satu keputusan supaya Briged Al Qassam, sayap ketenteraan Hamas dimasukkan sebagai organisasi pengganas di negara tersebut. Keputusan tersebut dikeluarkan atas alasan pergolakan demi pergolakan yang melanda negara tersebut, terutamanya di kawasan Semenanjung Sinai dicetuskan dan dibiayai oleh briged tersebut.

Di peringkat MPMS, kami membantah sekerasnya tindakan yang diambil oleh kerajaan Mesir melalui mahkamah mereka dengan menuduh Briged Al Qassam sebagai pengganas. Sebagaimana yang diketahui umum bahawa Briged Al Qassam terkenal dengan displin para pejuangnya yang taat dan patuh terhadap ajaran Islam apabila berperang.

Banyak contoh yang boleh diambil dari Briged ini yang menidakkan tuduhan bahawa mereka adalah pengganas. Sebagai contoh, ketika mereka berjaya menculik Gilad Shalit pada tahun 2006, askar Israel tersebut dilayan dengan begitu baik sesuai dengan prinsip Islam dalam peperangan yang melarang penyeksaan ke atas tawanan perang hinggalah beliau dibebaskan sekitar tahun 2011.

Dalam peperangan 51 hari pada tahun lepas, Briged Al Qassam telah menunjukkan beberapa contoh kepada dunia bagaimana etika peperangan menurut Islam. Ketika mana mereka merancang untuk membedil Lapangan Terbang Ben Gurion Tel Aviv, mereka telah mengeluarkan sebuah video berupa amaran kepada syarikat penerbangan antarabangsa supaya mengosongkan lapangan terbang tersebut sebelum mereka melancarkan peluru berpandu ke atas lapangan terbang itu.

Malah mereka turut mengeluarkan video yang sama kepada penduduk di bandar-bandar utama Israel seperti Haifa, Tel Aviv, Ashkelon dan Beer Sheba supaya mereka dapat bersiap sedia sekiranya bandar mereka diserang. Dua contoh di atas ini menunjukkan bahawa Briged Al Qassam sedaya upaya mengurangkan jumlah kematian di kalangan orang awam Israel tetapi tidak untuk rejim Zionis.

Mungkin ada yang menganggap bahawa Briged Al Qassam menjadikan warga Israel sentiasa berada dalam ketakutan natijah dari serangan yang dilakukan oleh mereka, tetapi ianya tidak setimpal dengan apa yang dilakukan oleh rejim Zionis ke atas rakyat Palestin.

Serangan roket yang dilancarkan oleh Al Qassam dan fraksi Palestin yang lain tidaklah seberapa jikalau hendak dibandingkan dengan dentuman pesawat pejuang -16, Helikopter Apache dan kereta kebal Avram milik Israel yang impaknya lebih teruk dan mengakibatkan kematian yang tinggi. Malah Israel dengan beraninya menggunakan senjata kimia yang terang-terangan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Selain itu, Hamas masih berpegang dengan prinsip bahawa musuh mereka yang sebenar adalah mereka yang datang ke bumi Palestin dan merampas serta mengusir penduduk asal secara haram. Ini yang membezakan Hamas dengan kumpulan bersenjata yang lain seperti Al Qaeda dan IS yang membunuh secara buta tuli tidak kira musuh itu bukan Islam atau orang Islam sendiri.

Hamas melalui Briged Al Qassam tidak pernah mengangkat senjata ke atas rakyat Palestin mahupun fraksi perjuangan lain yang berbeza ideologi dengan mereka. Perjuangan mereka berfokus di bumi Palestin 1948 (Israel) yang sekian lama dijajah oleh pihak Zionis dan sehingga kini tiada kedengaran berita di mana mereka melancarkan serangan di luar Israel bagi membalas kekejaman rejim Zionis.

Sepatutnya, pihak yang perlu dilabel sebagai pengganas adalah Abdul Fattah Al Sisi dan pengikutnya. Adakah kita dapat melupakan tragedi penyembelihan Medan Rabaah pasca penggulingan Dr. Morsi yang menyaksikan bencana kemanusiaan yang terburuk di abad moden. Ditambah lagi dengan penangkapan demi penangkapan yang dilakukan ke atas penyokong dan pemimpin Ikhwanul Muslimin sehingga sekarang, malah mereka diberi layanan yang teruk di dalam penjara.

Cukuplah rejim Al Sisi yang masih lagi berlaku kejam ke atas rakyatnya sendiri, ditambah lagi dengan rakusnya beliau menyekat pintu Rafah serta pemusnahan terowong rahsia di sepanjang Mesir-Gaza.

Fitnah yang dilemparkan oleh rejim Al Sisi ke atas Briged Al Qassam tidak akan mengurangkan simpati umat Islam ke atas rakyat Palestin, malah ianya akan meningkatkan sokongan dan dukungan kepada mereka supaya meneruskan perjuangan sehinggalah bumi Palestin bebas dari rejim Zionis.

Kami menyeru kepada seluruh umat Islam di negara ini khususnya golongan mahasiswa agar menolak tindakan rejim Al Sisi yang bacul ini dan mendoakan agar rakyat Palestin terus diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan mereka mendapatkan tanah air yang merdeka suatu hari nanti. - HARAKAHDAILY 5/2/2015

Share on Myspace