P'raya PBT: PAS Selangor belum dapat gambaran jelas

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS Selangor sehingga kini belum ada kata putus berhubung penganjuran pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana belum pernah dibincangkan dalam sebarang mesyuarat bersama Pakatan Rakyat (PR), kata Setiausahanya, Mohd Khairuddin Othman.

Justeru, katanya DAP perlu meyakinkan rakyat dan pemimpin politik lain berhubung kebaikan penganjuran pilihan raya berkenaan sebelum berhasrat mencadangkannya.

“Perkara ini tidak pernah dibangkitkankan dalam perjumpaan bersama kerana kami hanya berusaha memperkukuhkan kerajaan dan perkara ini hanya diketahui melalui laporan media.

“DAP harus bekerja keras untuk yakinkan rakyat dan pimpinan politik lain tentang perlunya pelaksanaan pilihan raya PBT itu,” katanya dipetik Selangor Kini.

Ditanya mengenai pandangan PAS berhubung pilihan raya itu, Khairuddin berkata, tiada pendirian konkrit mengenainya.

Ini, jelas beliau kerana PAS negeri belum mendapat gambaran jelas berkenaan struktur pelaksanaan terbabit.

Pada prinsipnya, kata beliau DAP perlu meyakinkan PAS bahawa pilihan raya PBT yang akan dilaksanakan itu lebih mendatangkan manfaat kebaikan berbanding keburukan.

“Jika perkara itu tidak berlaku, kita tetap dengan pendirian hari ini,” katanya yang juga Adun Paya Jaras.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming berharap Kerajaan Selangor mampu menjadi medan percubaan penganjuran pilihan raya PBT kerana hal itu terkandung dalam manifesto antara DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau yang juga AJK DAP negeri berkata, Petaling Jaya mungkin dipilih sebagai kawasan pertama, namun perkara itu masih belum dimuktamadkan dan perlu dibincang di peringkat tertinggi pimpinan Pakatan Rakyat (PR).

Sementara itu, Menteri Besar yang juga Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Selangor akan memanggil rakan komponen Pakatan Rakyat, DAP dan PAS untuk membincangkan isu pilihan raya itu dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat. - HARAKAHDAILY 5/2/2015

Share on Myspace