Saya hairan melihat gelagat 92 Ketua Umno - Mahfuz

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menggesa orang ramai agar memboikot parti yang menguasai kerajaan kerana gagal menurunkan harga barang kawalan.

Katanya pada sidang media, pengguna wajar  menggunakan kuasa beli yang ada untuk memilih barang yang lebih murah tetapi itu tidak mencukupi.

"Pihak pemimpin perlu bertindak dengan lebih proaktif dan bersungguh dalam menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada khususnya Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010.

"Akta tersebut sememangnya bertujuan untuk melindungi pengguna daripada peniaga yang menjual barang dengan harga yang tinggi dan tidak munasabah dengan tujuan untuk mengaut keuntungan yang berlebihan," kata beliau di Pejabat Agung PAS hari ini.

Beliau yang turut kecewa dengan pendirian Perdana Menteri yang menpertahankan kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berunsur perkauman dalam isu memboikot peniaga Cina.

"Saya hairan melihat gelagat 92 orang Ketua Bahagian Umno yang begitu bersemangat membela Ismail Sabri yang jelas kenyataan berunsur perkauman.

"Termasuk juga Perdana Menteri sendiri turut memilih jalan yang sama membela menteri kabinet itu.

"Sekiranya ia dikeluarkan oleh pemimpin pembangkang, pasti pihak berkuasa ingin mengheret ke mahkamah atas dasar hasutan," katanya lagi.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena itu meminta agar ke semua Ketua Bahagian Umno itu tampil menggesa menteri menurunkan harga barang kawalan dan bukannya takut untuk bersuara.

"Sehingga hari ini menteri berkaitan tidak pula menyatakan hasrat untuk menurunkan harga barang di bawah kawalan mereka.

"Saya gesa agar penyokong Ismail Sabri bersuara dengan berani untuk menggesa kerajaan segera turunkan harga barang kawalan," sambung beliau lagi. – HARAKAHDAILY 5/2/2015

Share on Myspace