Persempadanan Dun Sarawak keliru, SPR perlu kaji

| .

KUALA LUMPUR: PAS Sarawak menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji semula cadangan mereka untuk memisahkan Dewan Undnagan Negeri (DUN) yang sedia ada sebelum digazetkan untuk digunakan dalam Pilihan Raya Umum Sarawak nanti.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, terdapat beberapa perkara yang mengelirukan dalam cadangan persempadanan semula, antaranya kawasan atau daerah tempat mengundi baharu tidak dinyata dengan jelas.

Perkara ini akan menimbulkan masalah kepada pengundi bagi mengetahui daerah atau tempat mengundi selepas Dun mereka bertukar.

Beliau juga berkata, berlaku ketidakseimbangan dalam penjumlahan undi apabila kawasan yang ramai pengundi tidak dibahagi kepada kawasan baharu.

Kebanyakan kawasan yang padat penduduk juga tidak dipisahkan menjadi satu DUN baru sedangkan kawasan yang kurang penduduk seperti kawasan luar bandar pula dipisahkan menjadi satu DUN baru.

"Sudah tentu ini memberi kelebihan kepada pihak pemerintah memandangkan penduduk luar bandar masih banyak bergantung bantuan dari kerajaan yang memerintah.

"Perkara ini nampak macam berat sebelah dan pada dasarnya memang kita tidak setuju cara persempadanan semula dilakukan kerana berlaku ketidakseimbangan antara kawasan bandar dengan luar bandar walaupun alasan pihak SPR untuk memberi kemudahan kepada penduduk luar bandar untuk menunaikan hak mereka mengundi," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Menurut beliau juga, PAS Sarawak mendapati daerah mengundi di Tanjong dan Luak sudah bertukar ke dalam DUN Piasau.

DUN Senadin sekarang meliputi Kuala Baram, Lopeng dan Riam saja. Kebanyakan pengundi tidak tahu berlaku perubahan tempat mengundi baru mereka sekiranya mereka tidak melihat jadual baharu persempadanan semula yang dipamerkan di daerah masing-masing.

" Mereka mungkin tidak begitu kisah sebab tidak ada berlaku sebarang perubahan atau persempadanan semula dalam Parlimen Miri.

"Sepatutnya kawasan bandar yang padat dengan penduduk seperti di kawasan Senadin boleh ditambah DUN baru dengan adanya pertambahan penduduk dalam kawasan perumahan di Lopeng, jalan Airport, Riam dan di Luak," katanya.

"Kalau ikut kawasan sempadan Lopeng dan Riam yang terpisah dari kawasan DUN Senadin sepatutnya dipisahkan dari kawasan Kuala Baram. Mengapa ia tidak digabung dengan Tanjong dan Luak menjadi satu DUN baru yang berjumlah lebih dari 14 ribu pengundi.

"Memandangkan kepadatan penduduk di kawasan DUN Senadin yang meliputi kawasan perumahan baru di Tudan, Permyjaya dan Kuala Baram sepatutnya kawasan Lopeng dan Riam tidak dimasukkan dalam DUN Senadin," jelasnya.

Justeru beliau mahu semua pihak yang terlibat dipanggil bersama untuk membincangkan masalah ini agar ia dapat memberi kepuasan kepada semua pihak yang terlibat.

"Kita tidak mahu ada berat sebelah dalam persempadanan semula berlaku dalam DUN Sarawak. Sekiranya ianya diluluskan nanti tentu DUN Sarawak akan bertambah banyak dari 71 menjadi 82.

"Sekiranya berlaku persamaan dalam kerusi DUN suatu hari nanti, pihak SPR perlu mengkaji semula angka genap sekarang menjadi angka ganjil agar tidak berlaku perebutan kuasa nanti apabila jumlah kerusi pembangkang dengan BN sekarang ada persamaan.
"Ini tidak mustahil berlaku pada masa hadapan kerana BN tidak akan jadi pemerintah selamanya," katanya.

Jumlah bilangan pemilih dalam Sarawak sebanyak 1,109,134 orang seperti yang tercatat dalam Bahagian Pilihan Raya Persekutuan 2014. - HARAKAHDAILY 5/2/2015

Share on Myspace