Pengguna: Jangan lupa anda adalah bos

PIARAPAKARAN S | .

PERSATUAN Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah memantau perkembangan mengenai harga tenaga dan kesannya kepada ekonomi Malaysia secara berterusan. Pencatutan (profiteering) merupakan penyakit kronik yang boleh diperhatikan dalam semakan harga bahan api yang terbaru. Mari kita mengkaji isu ini dengan lebih lanjut.

Apabila kerajaan mengurangkan subsidi untuk petrol dan diesel pada bulan Oktober 2014, banyak peniaga mengadu. Ada yang mengatakan bahawa mereka akan menutup kedai jika mereka tidak menyalurkan kos tambahan kepada produk dan perkhidmatan mereka dan segelintir daripada mereka mengatakan bahawa mereka akan "mati" disebabkan oleh peningkatan harga yang mendadak.

Harga tertinggi RON 95 (petrol) adalah RM 2.30 seliter dan diesel adalah RM 2.23 seliter di antara bulan Oktober 2014 dan Disember 2014. Kini, selepas tiga kali harga bahan api disemak semula pada bulan Disember 2014, Januari 2015 dan Februari 2015, harga RON 95 dan diesel adalah RM 1.70 seliter. Ini adalah bersamaan dengan pengurangan sebanyak 26.09 peratus dalam harga RON 95 dan 23.77 peratus dalam harga diesel.

Hairannya, golongan yang telah mengadu bahawa mereka tidak dapat tahan dengan peningkatan dan akan "mati" kini telah keluar dan mengatakan bahawa harga bahan api adalah komponen "sangat kecil" dalam perbelanjaan operasi mereka. Beberapa pihak menuding jari kepada yang lain dan yang lainnya adalah sejarah. Pokoknya, penurunan dalam perbelanjaan operasi bermakna margin keuntungan yang lebih tinggi, itulah matematik yang mudah. Wang mempunyai caranya sendiri untuk menggoda kebanyakan perniagaan supaya tidak menurunkan harga!

Jika kita mengambil komponen harga bahan api sekata dalam kos operasi perniagaan sebagai 5 peratus, 10 peratus, 15 peratus, 20 peratus, 25 peratus, 30 peratus, 35 peratus, dan 40 peratus. Kemudiannya, kita proratakan pengurangan sebanyak 20 peratus dalam kesan kos bahan api secara keseluruhan, komponen kos bahan api akan menurun menjadi, 4 peratus, 8 peratus, 12 peratus, 16 peratus, 20 peratus, 24 peratus, 28 peratus dan 32 peratus masing-masing dalam kos operasi mereka.

Sebagai contoh, persatuan pengusaha bas dan teksi menyebut bahawa komponen bahan api mereka adalah antara 30 peratus dan 40 peratus apabila kerajaan menaikkan harga bahan api pada bulan Oktober 2014. Kini, ia sepatutnya di antara 24 peratus  dan 32 peratus atau lebih rendah. Tetapi, mereka maklumkan bahawa kos-kos lain telah meningkat, jadi mereka mengekalkan caj perkhidmatan seperti sedia kala. Bolehkah mereka menyenaraikan komponen kos yang telah meningkat dan apakah peratusan peningkatan bagi setiap komponen ini?

AWER ingin berkongsi pengalaman kami sendiri dalam mengkaji produk elektrik dan elektronik yang cekap tenaga. Kami mendapati bahawa terdapat unsur kartel dan pencatutan dalam barangan elektrik dan elektronik semasa proses perundingan dengan pihak-pihak berkepentingan. Peruncit (termasuk pasar raya besar) tidak dibenarkan untuk menjual produk-produk di bawah harga tetap. Jika mana-mana peruncit mengurangkan harga jualan di bawah harga tetap, peruncit ini tidak akan dibekalkan model produk tersebut sebagai hukuman. Peruncit hanya dibenarkan untuk menjual produk-produk di atas harga yang ditetapkan sebanyak mana yang mereka suka. Malangnya, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang telah dibekalkan salinan-salinan laporan kami telah gagal mengambil apa-apa tindakan sehingga kini. (MyCC adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan).

Sebagai pengguna, jika kita menyemak harga barangan yang dijual di pasar raya besar dan peruncit, kita akan melihat bahawa harga diskaun sebenarnya tidak jatuh di bawah paras tertentu. Baru-baru ini, lapan pek mi segera dijual dengan harga RM4.88 sebagai harga terendah di beberapa pasar raya besar. Senarai ini berterusan untuk detergen, barangan rumah, makanan, minuman dan sebagainya. Jika kerajaan serius dalam menangani isu-isu ini, mereka boleh dapatkan maklumat daripada peruncit yang dipaksa menjual pada harga tetap dan bergerak ke atas rantai bekalan untuk menangkap "jerung-jerung" ini. Terdapat banyak "jerung-jerung" untuk ditangkap bagi pelbagai produk. Bolehkah MyCC melakukan ini?

Dalam satu kajian yang berkaitan dengan Lampu Kalimantang Mampat (Compact Fluorescent Lights - CFL), kami telah menjalankan kajian pasaran dan menggunakan kaedah "menamakan dan memalukan" (name and shame). Terdapat kumpulan syarikat yang berjanji kepada agensi kerajaan (semasa mesyuarat) di mana apabila mentol pijar (mentol filamen) yang tidak cekap tenaga dihentikan penggunaannya secara berperingkat, syarikat-syarikat ini bersedia untuk membekalkan CFL pada tag harga yang lebih rendah.

Tetapi, selepas pengumuman mentol pijar akan dihentikan penggunaannya, harga CFL naik dan tidak pernah turun sehingga mereka pada dasarnya dinamakan dan dimalukan dalam laporan kami yang telah diterbit pada tahun 2012. Oleh itu, kami menggesa pengguna untuk menggunakan media sosial untuk menamakan dan memalukan barangan dan perkhidmatan yang tidak menawarkan harga yang berpatutan. Begitu juga, mengenali perniagaan yang baik dan menggalakkan kepada rakan-rakan anda.

Sila jangan lupa restoran-restoran francais termasuk restoran-restoran makanan segera (fast food) yang berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk mengekalkan kos yang rendah berikutan pembelian pukal. Mereka telah meningkatkan harga dan mengurangkan saiz makanan yang ditawarkan dengan ketara sejak beberapa tahun ini. Oleh itu rakyat Malaysia perlu mengajar sektor perniagaan ini tentang hak pengguna. Pada masa yang sama, gerai-gerai makanan (hawker stalls) juga mesti diingati oleh pengguna-pengguna!

Secara umumnya, rakyat Malaysia adalah bersikap yang memaafkan dan tidak menuntut untuk barangan dan perkhidmatan yang setanding dengan kadar yang mereka bayar. Jika kita terus tidak menuntut dan menghukum peniaga yang menipu, peniaga ini akan mencari jalan untuk memerah lebih banyak daripada kita. Gunakan media sosial untuk mewujudkan gelombang menamakan dan memalukan. Gunakan ketamakan mereka untuk menentang mereka. Jangan lupa, ANDA adalah bos. Jika anda (secara kolektif) tidak membeli, mereka terpaksa menutup kedai akhirnya. Pastikan momentum ini dikekalkan!

Sebagai renungan, adakah perunding-perunding yang telah diupah untuk menasihatkan kerajaan dalam rasionalisasi subsidi meramalkan atau memaklumkan situasi semasa ini (perniagaan meningkatkan harga sahaja dan enggan untuk mengurangkan harga) dan jenis kawalan yang perlu dilaksanakan. Saya pasti mereka akan berikan kesimpulan bahawa "biar pasaran menentukan".

Pihak AWER telah mendengar alasan yang tidak masuk akal ini sangat kerap. Tetapi, pasaran kini yang sedang bermain dengan kartel dan pencatutan telah membawa maksud bahawa perunding-perunding ini telah menggagalkan kerajaan dengan teruk. Itulah apa yang anda dapat apabila anda mengupah perunding-perunding yang tidak tahu bagaimana Malaysia beroperasi.

Apa yang akan berlaku apabila sumber tenaga yang digunakan untuk sektor pengangkutan, sektor tenaga dan sektor perindustrian akhirnya mencapai harga pasaran? Adakah peniaga akan mengikut trend dengan harga pasaran atau mereka hanya akan meningkatkan harga dan enggan untuk menggurangkan harga apabila harga pasaran sebenarnya adalah rendah? Jangan buat lagi "makmal" atau "seminar" atau "mengupah perunding baru"; laksanakanlah penguatkuasaan di bawah undang-undang yang sedia ada. Pencatutan dan kartel tidak dibenarkan di bawah undang-undang Malaysia. Ia adalah begitu jelas dan mudah.

Saya ingin menambah kepada apa yang Profesor Albert Einstein telah berkata, "Hanya dua perkara yang tak terhingga (infinite), alam semesta dan kebodohan manusia". Tetapi, beliau telah lupa bahawa ketamakan manusia tidak mempunyai had juga! – HARAKAHDAILY 5/2/2015

Piarapakaran S., Presiden, Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Share on Myspace