Jangan hanya pandang Putrajaya dan Umno

| .

KAJANG: Gerakan Islam mestilah menjadi gerakan politik yang lebih luas dan global dari sekadar mengejar kuasa pemerintahan dan menghadapi musuh atau saingan politik kecil, demikian menurut Pensyarah Universiti Malaya, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

“Pandangan politik perlu lebih jauh dan memahami pertentangan kepada musuh politik mestilah dengan watak sebagai pendakwah. Amati pertentangan dan persaingan politik secara lebih luas dan tidak semata-mata mengejar Putrajaya.

“Ada musuh yang lebih bahaya yang perlu dihadapi. Kita kena faham, percaturan politik dunia sangat mempengaruhi politik tempatan. Gerakan kita perlu jadi lebih luas dari sekadar mengejar Putrajaya dan menghadapi Umno,” katanya pada Nadwah Ulama bertemakan “Tajdid Hadhari Fiqh Bernegara” di Darul Fuqaha, Sungai Merab, dekat sini, 3 Februari lalu.

Katanya, ahli Gerakan Islam perlu memahami bahawa sasaran politik Islam adalah untuk memenuhi amanah manusia sebagai kekhalifahan iaitu dengan melakukan tanggungjawab pembaikian atau ‘islah’ dalam soal menjaga pengabdian manusia terhadap hak Allah dengan mentadbir manusia dan wilayah pemerintahan.

Menurutnya, era keterbukaan demokrasi di negara umat Islam telah melahirkan fenomena perpecahan pendekatan hingga muncul aliran keras seperti al-Qaeda dan IS selain jaluran lembut, longgar dan apologetik atas nama Muslim Progresif, Muslim Liberal dan Muslim Demokrat, serta kekalnya kumpulan dengan cara pendekatan haraki.

Jelasnya lagi, rangka siyasah syariyyah amat berbeza dengan kefahaman tunggal terhadap politik sebagai mengurus pemerintahan semata-mata.

Siyasah syariyyah menurutnya, merujuk kepada pengurusan manusia dan pemerintahan berdasarkan hukum-hukum syarak, sesuai di segenap tempat dan zaman sebagaimana telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan juga dari istinbat ulama.

Dr Mohd Zuhdi turut menyentuh mengenai sistem politik dunia hari ini yang dicorak oleh sebuah negara bangsa sebagai entiti politik dan geografi sejak Kurun Ke-18 di Eropah untuk menghancurkan sistem feudal serta perbezaan konsep negara bangsa dari konsep bangsa negara.

Menurutnya, pemahaman itu penting misalnya untuk menerima hakikat susur galur bahawa Islam adalah asal kepada penyatuan negara dan rantau ini.

“Sejarah negara kita, asal usul budaya dan agama negara ini adalah Islam. Pertikaian terhadap Islam akan menimbulkan persengketaan. Untuk itu, tindakan mempertikaikan kedudukan Islam oleh pihak-pihak tertentu di negara ini adalah sensitiviti yang tidak sepatutnya berlaku. Aqidah Islamiyah dan negara ini tidak sepatutnya dipisahkan,” tegasnya.

Beliau yang juga Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS berkata, walaupun negara bangsa memisahkan sempadan geografi negara hingga membawa identiti berbeza bangsa, tetapi antara negara umat Islam tidak terjadi perkara itu kerana kuatnya hubungan ukhuwah dan akidah Islamiyah.

Terangnya, entiti bangsa ini turut mempengaruhi politik Islam, lalu mewujudkan Darul Islam dan kemudian berkembang hingga menerbitkan istilah Daulah Islamiyah yang diperkenalkan Rashid Ridha.

Pun begitu katanya, kesan pembentukan negara bangsa mengikis identiti ‘Ummatan wahidan’ yang menuntut umat hari ini meneroka gagasan politik yang lebih luas iaitulah untuk kepentingan Islam semata-mata. - HARAKAHDAILY 5/2/2015

Share on Myspace