Boikot: Mengapa MCA sokong Ismail?

| .

KUALA LUMPUR: "Jika tiada salahnya dengan perkongsian Facebook menyuruh pengguna Melayu memboikot perniagaan Cina, kenapa pula Ismail Sabri memadamkan perkongsian tersebut?," soal Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.

Beliau mempersoal tindakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu memadamkan perkongsian tersebut selepas beliau diraikan sebagai wira nasional.

Beliau berkata, Ismail kini sedang menikmati layanan wira terhadapnya selepas tekanan politik diberikan ke atas kabinet agar menyokong kenyataannya.

Bukan sahaja 35 menteri, tetapi juga dua menteri MCA yang selama ini mengecam kenyataan perkauman Ismail sebelum mesyuarat Kabinet semalam terpaksa menerima sahaja seruan Ismail dan menyifatkannya sebagai bijak, dan ditujukan kepada semua peniaga serta bukan peniaga dari kaum tertentu supaya menurunkan harga.

"Tiada sesiapa yang tahu bagaimana dua menteri MCA tersebut dapat membulatkan yang lonjong, tetapi mereka jelas telah mencapai teknik silat politik yang tidak difahami oleh manusia biasa, termasuk ahli politik biasa.

"Tidakkah polis sepatutnya menyiasat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan seluruh anggota Kabinet tentang bagaimana mereka berjaya mengubah kenyataan perkauman Ismail supaya memboikot peniaga Cina menjadi teguran kepada semua peniaga dan bukan kaum tertentu sahaja untuk menurunkan harga barang?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Kit Siang lagi, bukan sahaja rakyat Malaysia malah seluruh dunia juga ingin tahu bagaimana Kabinet Malaysia berjaya menghasilkan sakti sebegini rupa.

Pertamanya menukar seruan perkauman kepada pengguna Melayu untuk memboikot peniaga Cina menjadi kenyataan terhadap semua kaum dan kedua, sakti yang lebih hebat lagi, menukarkan pemimpin politik seperti dua menteri MCA itu, yang sebelumnya benar-benar percaya dengan sifat perkauman perkongsian Facebook Ismail sebelum mesyuarat Kabinet, tetapi kemudiannya menerima kenyataan Ismail itu sebagai tidak bersifat perkauman langsung.

"Pun begitu, adakah pihak polis akan menyiasat Najib dan 35 Menteri Kabinet yang lain mengenai bagaimana mereka telah menukarkan sebuah seruan perkauman menjadi tidak perkauman? soalnya. - HARAKAHDAILY 5/2/2015

Share on Myspace