IS: Pemuda PAS gesa OIC bertindak tegas

| .

KUALA LUMPUR: Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS Malaysia (LAPPM) mendesak Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) bertindak tegas terhadap kumpulan radikal bertopengkan jihad Islam (Negara Islam) IS yang membunuh tawanan warga Jepun, Kenji Goto dan pembakaran juruterbang tentera Jordan Lt. Muath al Kasasbeh.

LAPPM turut menggesa para ulama seluruh dunia mengeluarkan fatwa mengenai kewujudan serta keabsahan tindakan IS yang mengelirukan umat Islam dan bukan Islam.

Pengerusinya, Dr Raja Ahmad Iskandar berkata, OIC perlu mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung gerakan Islam di negara-negara yang wajib dibantu serta negara umat Islam yang perlu dibela daripada terus menjadi mangsa pembunuhan.

"Kita menganggap tindakan IS sebagai suatu tindakan zalim, tidak berperikemanusiaan serta terkeluar daripada ajaran Islam yang sebenar.

"Bagi umat Islam, pembunuhan warga Jepun dan Jordan terbabit tidak boleh diterima sama sekali. Peperangan bukan tiket menghalalkan pembunuhan kepada sesiapa sahaja termasuk wartawan, petugas kesihatan, orang awam, kanak-kanak, wanita, warga emas, golongan agamawan dan lain-lain lagi," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Lebih daripada itu, katanya, kekejaman ini akan menyebabkan kesan emosi yang besar ketika ini serta mengguris perasaan bangsa dan negara lain.

Bahkan tegasnya, insiden ini akan melebarkan lagi jurang permusuhan serta kebencian bukan Islam terhadap Islam.

"Sentimen Islamophobia semakin meluas di Jepun dengan golongan bukan Islam menganggap Islam agama yang ganas, zalim dan kejam.

"Tidak syak lagi, IS bukanlah sebuah gerakan Islam yang tulen serta membawa ajaran Islam yang sebenar. LAPPM serta umat Islam meyakini, IS adalah sebuah pertubuhan tajaan Barat atau Zionis demi menjaga kepentingan Barat," jelasnya.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS berkata, kewujudan IS tidak memeranjatkan kerana semua kepentingan IS tidak disentuh, mereka mudah mendapat bekalan senjata, memiliki dana yang melimpah ruah serta pergerakan mereka tidak disekat oleh sesiapa sehinggakan markaz mereka amat terbuka untuk dilihat dan diserang.

"Dalam keadaan gerakan Islam di seluruh dunia diserang, diburu, pemimpin dan pengikut dibunuh, diharamkan IS pula diberi tempat sewenang-wenangnya membunuh sesuka hati.

"LAPPM menganggap IS lebih berbahaya dan jahat daripada musuh umat Islam sendiri. IS ibarat ‘duri dalam daging’, ‘gunting dalam lipatan’, ‘api dalam sekam’ terhadap Islam,"tambahnya.

Justeru katanya, tindakan keterlaluan mereka menyebabkan majoriti umat Islam di dunia merana kerana menerima kesan kebencian masyarakat bukan Islam dan mungkin peperangan demi peperangan sedang dicipta bagi memangsakan lebih ramai umat Islam di negara-negara Islam yang lain. - HARAKAHDAILY 5/2/2015

Share on Myspace