Banjir: Makan malam hargai 'hero' rakyat Kelantan

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Tabung Pemulihan Bencana Banjir akan mengumpulkan 'hero' yang dikenali dan tidak dikenali untuk diraikan dalam satu Majlis Makan Malam pada 10 Februari ini.

Menurut Pengerusinya Mohamad Sabu, makan malam yang akan di adakan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tidak akan dikenakan sebarang bayaran sebaliknya sebagai penghargaan 'kecil' pihaknya buat hero rakyat Kelantan.

"Kami akan seberapa mungkin mengumpulkan hero untuk sama-sama kita raikan dan berkongsi kisah, ruang pameran bagi NGO berkongsi pengalaman akan disediakan," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.

Dalam waktu yang sama katanya, majlis itu nanti akan merakamkan penghargaan kepada beberapa individu dan organisasi sebagai wakil solidariti rakyat kepada mereka.

Bagaimanapun, Mohamad yang juga Timbalan Presiden PAS, turut mengalu-alukan sumbangan tunai dan cek pada malam itu untuk terus menyumbang dan bersama jawatankuasa ini bagi membaik pulih kehidupan mangsa banjir di Kelantan.

Sumbangan boleh dibuat ke akaun Maybank; 5642 9430 8112  atas nama Tabung Pemulihan Bancana Banjir.

Hal ini kerana katanya, keadaan mangsa semakin rumit selepas banjir untuk membina semula kehidupan mereka yang hilang tempat tinggal, ternakan dan perniagaan.

"Walau bagaimanapun, mereka perlu teruskan kehidupan. PAS terus buka tabung ini untuk membantu membina semula kehidupan, biarlah ia tidak sempurna seperti sebelum ini tetapi sekurang-kurang mereka diberi harapan baru selepas ini," katanya.  

Orang ramai yang berminat untuk menyertai makan malam tersebut boleh mendaftarkan kehadiran dengan menghubingi Mohd Azhar Mat Dali di talian 019 446 9696 atau Abu Mirdif di 014 999 9670.

Sehingga kini jumlah sumbangan yang terkumpul di dalam Tabung Pemulihan Bencana Banjir kira-kira RM300,000.

Mohamad yakin jumlah sumbangan daripada individu, hartawan dan dermawan akan bertambah selepas majlis makan malam itu nanti.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berterima kasih kepada PAS yang bersedia mengubah tarikh jamuan makan malam itu untuk memberi laluan kepada program 'Grand Finale' Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Apabila kita dapat tarikh penghakiman Anwar pada 10 Febuari, jadi pada malam 9 haribulan adalah program kemuncak. PAS dan lama rancang majlis ini dan dah tetap pada 9 Febuari, jadi kita minta laluan ini," katanya.

Pada malam 'grand finale' itu, Anwar di jadualkan akan bertemu dengan rakyat di Padang Timur Petaling Jaya dalam majlis makan malam bersama masyarakat Tionghoa.

Banjir yang melanda Kelantan pada penghujung Disember 2014 merupakan banjir terburuk pernah dialami negara ini. Banjir berskala mega ini tidak diduga menatijahkan kerosakan dan kehilangan harta benda malah nyawa.

Skala banjir ini mencatatkan 250,000 mangsa yang terlibat, 150,000 petani hilang mata pencarian, 2,600 buah rumah musnah, 22 buah sekolah turut musnah dan 21 orang terkorban. – HARAKAHDAILY 6/2/2015

Share on Myspace