Keputusan fatwa mengenai GST diragui

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan, Dewan Ulama PAS Perak, Ustaz Norazli Musa mengkritik keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan berhubung Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang disifatkannya sebagai “kalimah benar tetapi dikehendaki yang batil”.

Menurutnya, walaupun pihak kerajaan harus mengenakan cukai kepada rakyat, tetapi terlalu banyak keraguan daripada pengenaan cukai tersebut.

Ujar beliau, sepatutnya pihak kerajaan menjelaskan beberapa perkara sebelum melaksanakannya.

“Apakah ‘haddud dhoruriyat’ dan ‘hajiyat’ semasa? Apa ‘nawaitu’ yang hakiki? Sedangkan sudah terlalu banyak jenis cukai dikenakan kepada rakyat. Mengapa perlu dikenakan lagi (GST)? Kalau cukai yang dikenakan atau dinaikkan dari kecuaian atau ketirisan, itu bukan unsur bebanan ‘masolih’. ‘Mafhum masolih’ masih kabur.

“Sebab pembiayaan untuk projek haram juga dimasukkan seperti konsert K-Pop. Malah, kerajaan belum sepenuhnya melaksanakan syariah, selain pelaksanaannya nanti menguntungkan satu pihak dan memudaratkan satu pihak lain,” ujarnya yang masih kehairanan dengan fatwa tersebut.

Sementara itu, mewakili asatizah lepasan Syria, Ustaz Safwan Muhammad pula mempersoalkan parameter digunapakai Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.

“Fatwa sifatnya tidak ‘mulzim’. Walaupun sudah disahkan, tetapi kalau tiada pelaksana atau penguatkuasa, fatwa itu jadi sia-sia. Sekadar untuk tutup kesalahan kerajaan. Paling kurang untuk GST dilihat tidak teruk sangat sebab ada fatwa.

“Kemudian siapa yang layak untuk tentukan ‘maslahah’? Mestilah pihak yang rakyat beri mandat. Sekalipun banyak pihak kata tiada ‘maslahah’, tetapi kalau kerajaan kata ada, maka fatwa akan ikut kerajaan,” ujarnya meluahkan kesal terhadap fatwa tersebut.

Menurutnya, fatwa juga bersifat menunggu di mana kemungkinan fatwa tersebut juga akan berubah-ubah.

Katanya, dalam keadaan semua pihak tidak jelas terhadap GST, sepatutnya fatwa boleh dikeluarkan secara umum sahaja. – HARAKAHDAILY 6/2/2015

Share on Myspace