PAS ada hak dalam isu hudud

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Mana-mana parti di dalam Pakatan Rakyat tidak ada hak untuk mengarahkan atau mengekang parti lain dalam menyatakan pandangan sesuatu isu, demikian menurut Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli.

Bagaimanapun beliau berpandangan pegangan dan tindakan bersama dalam ketiga-tiga parti PAS, PKR dan DAP perlu dibincangkan secara lebih baik dalam proses mesyuarat.

"PKR tidak boleh bagi tahu PAS hudud tidak boleh. Tetapi pada masa yang sama PKR perlu bagi pandangan atau cadangan. Yang penting PAS atau PKR, masing-masing ada hak. Proses itu akan berterusan," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung isu hudud di Kelantan dan isu pilihan raya Kerajaan Tempatan (PBT) di Pulau Pinang.

Rafizi berkata, PKR sentiasa terbuka tetapi sesuatu isu mesti dibincangkan dalam kerangka 'adik-beradik' dalam suasana yang baik.

"Semua isu akan dibincang dalam mesyuarat itu yang menjadi amalan kita selama 15 tahun," katanya.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu turut menegaskan bahawa kedua-dua isu itu akan dibincangkan di dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 8 Febuari ini.

"Kita akan tengok dalam mesyuarat pada 8 Febuari ini. Kami akan bincang dalam mesyuarat pada Ahad ini," tegas Mohamad berulang kali sebaik pemberita berkali-kali mengajukan soalan berhubung kemelut itu.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat  bakal diadakan pada petang Ahad ini sebelum itu, PAS juga  dijadualkan akan mengadakan mesyuarat pada pagi hari yang sama. – HARAKAHDAILY 6/2/2015

Share on Myspace