Kedutaan Perancis sedia berdialog dengan PAS

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Kedutaan Perancis menyatakan kesediaan untuk berdialog secara terbuka bersama PAS dalam isu yang membabitkan majalah Charlie Hebdo.

Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Kedutaan Perancis Mr Damien ketika mengadakan kunjungan ke pejabat Dewan Pemuda PAS Malaysia hari ini.

Kunjungan itu merupakan kunjungan balas bagi menjawab memorandum oleh Pemuda PAS yang diserahkan kepada Kedutaan Perancis berhubung penghinaan Charlie Hebdo ke atas agama Islam sehingga mencetuskan insiden pembunuhan.

Menurut Pengerusi Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS Malaysia Dr Raja Ahmad Iskandar, Pemuda akan menemukan pihak kedutaan dengan NGO Islam untuk saling memahami antara satu dengan yang lain.

"Kita buat dialog atau seminar kecil dengan pihak Perancis. Mereka setuju untuk sertai," katanya turut menghargai kesungguhan Kedutaan Perancis menjawab memo Pemuda PAS.

Di dalam pertemuan itu juga pihak Menteri Luar Kerajaan Perancis mengakui Charlie Hebdo bukan sahaja menghina agama Islam bahkan agama lain seperti Kristian turut dikecam.

"Orang Kristian pun kritik Charlie Hebdo. Perkara ini bukan masalah Islam bahkan semua agama, kadang-kadang kutuk Islam kadang-kadang kutuk agama lain," kata Damien kepada Pemuda PAS.

Iskandar turut dimaklumkan bahawa semua media di negara terbabit bebas diterbitkan tanpa perlu meminta permit daripada kerajaan.

Demian turut mengecam tindakan Charlie Hebdo dan menggesa majalah itu tidak lagi mengulangi perbuatan mereka yang boleh mencetuskan huru-hara.

Turut bersama dalam perjumpaan itu Setiausaha Pemuda PAS, Abang Ahmad Kardee dan Ketua Penerangan Nasaie Ismail. - HARAKAHDAILY 6/2/2015

Share on Myspace