Audit bebas boleh rungkai masalah kewangan 1MDB

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini digesa agar melakukan audit bebas bagi merungkai segala persoalan mengenai kedudukan kewangan syarikat milik kerajaan itu.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad ketika dihubungi Harakahdaily berkata, Perdana Menteri perlu memulakan satu 'Audit Khas' oleh Auditor General atau melibatan Badan Audit Bebas begi meneliti segala urus tadbir syarikat itu.

"Badan Audit Bebas yang berwibawa ini akan meneliti dan membedah segala kegiatan tadbir urus kewangan termasuk pelaburan yang telah menjadi sasaran kritik pelbagai pihak.

"Ia secara langsung dapat memberi jawapan yang jelas mengenai kedudukan kewangan 1MDB yang sebenarnya.

"Kita tidak boleh meletakkan hujah bahawa1MDB yang telah diaudit tidak perlu diaudit lagi kerana terlalu rumit dan sukar (massive), seperti yang disebutkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tempuh hari," katanya.

Menurut beliau, contoh Enron yang diaudit oleh Anderson dan Transmile oleh Deloitte di negara kita sendiri, sudah cukup mengingatkakan kita bagaimana sebuah firma antara the ‘Big 4’ di dunia melakukan pelbagai ‘accounting fraud’ dalam kes skandal Transmile Berhad.

Beliau yang turut mempertikaikan hutang 1MDB sebanyaj RM2 bilion yang kini telah tertunggak sejak 30 November tahun lepas telah diberikan lanjutan dua kali.

"Kini telah melepasi tarikh lanjutan pada 31 Januari lalu, informasi yang saya ada ialah hutang 1MDB ini akan dianggap sebagai hutang tak berbayat atau NPL oleh bank-bank terlibat.

"Maybank Berhad dan RHB Capital adalah bank utama (lead lenders) sebanyak 58.99 peratus dan 32.41 peratus, disamping yang lain seperti Alliance Investment Bank Bhd (4.06 peratus), Malaysia Building Berhad (3.24 peratus) dan Hwang DBS Investment Bhd (1.29 peratus)," sambung beliau.

Menurut beliau lagi, hutang RM2 bilion adalah sebahagian dari hutang RM5.5 bilion dibuat oleh anak syarikatnya, Powertek Investment Holding Sdn Bhd (PIH) pada May 2014 untuk membiayai pinjaman sebanyak RM6.17 bilion 'bridging loan’ yang dibuat ketikan 1MDB membeli PIH dari Tan Sri Ananda Krishnan pada 2012.

"Ananda Krsihnan telah menjual PIH kepada 1MDB dengan harga RM8.5bilion pada tahun tersebut.

"Laporan dari The Edge Financial Daily minggu lalu telah melaporkan bahawa Ananda Krishnan, sebagai juga orang yang menjamin pinjaman 1MDB telah bersetuju memberikan pinjaman ‘interim’ (sementara) kepada 1MDB sebanyak RM2 bilion untuk melunaskan hutang Maybank dan RHB.

"Ke semua pergolakan ini telah meninggalkan persepsi yang sangat buruk terhadap 1MDB yang kerap didakwa pihak kerajaan, khususnya Menteri Kewangan II Dato Ahmad Maslan bahawa kedudukan kewangan 1MDB adalah sihat," tambah beliau.

Dr Dzulkefly yang turut berpendapat jika 1MDB gagal melunaskan hutang tersebut ia boleh menjadi punca kepada ancaman sistemik (systemic rick) yang akan menjejaskan 'penarafan berdaulat' atau 'sovereign rating' negara.

"Kerajaan Persekutuan juga ada menjamin hamper RM10 bilion dalam pinjaman yang dibuat 1MDB.

"Berdasarkan kesemua rentetan pergolakan di atas adalah wajar supaya Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bertindak untuk memanggil 1MDB selaku sebuah badan pelaburan berdaulat negara.

"Di samping Khazanah Nasional Berhad, yang dipengerusikan Lembaga Pengarahnya oleh Perdana Menteri sendiri, bagi melunaskan tanggugjawabnya sebagai badan pemantauan parlimen," katanya.

Beliau yang turut mengucapkan tahniah terlebih dahulu kepada ketegasan Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan, seandainya beliau berani mengambil tindakan tegas dan tuntas seperti itu. - HARAKAHDAILY 6/2/2015

Share on Myspace