Cerai sebelum peluk Islam: Bincang dulu dengan ulama

SURIATI SIDEK AHMAD | .

KUALA LUMPUR: Pengamal undang-undang mencadangkan supaya kerajaan Negeri Sembilan berbincang dengan para ulama dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam sebelum menguatkuasakan dua cadangan peraturan baharu berkaitan mualaf dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003.
    
Dua peraturan baharu itu ialah seorang bukan Islam perlu membubarkan perkahwinannya yang terdahulu sebelum dibenarkan berdaftar sebagai mualaf di Negeri Sembilan dan mereka juga perlu membuat akuan berkanun yang menyatakan telah memeluk Islam.
    
Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata peraturan baharu itu mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan ia tidak perlu dibentangkan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi hanya memerlukan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
    
Peguam kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata ini kerana proses seorang bukan Islam untuk membubarkan perkahwinannya di Mahkamah Sivil akan mengambil masa yang agak lama dan melibatkan banyak perkara antaranya harta sepencarian dan hak penjagaan anak.
    
"Apakah hukumnya pihak yang melengah-lengahkan seseorang untuk memeluk agama Islam. Adakah cadangan pindaan itu mendapat pandangan daripada ahli ulama, jika tidak saya syorkan supaya pihak pentadbir (kerajaan Negeri Sembilan) berbincang dan meminta pandangan ahli ulama berhubung cadangan itu," katanya ketika dihubungi Bernama.
    
Mohamed Haniff yang banyak mengendalikan kes-kes berkaitan perebutan hak penjagaan anak melibatkan mualaf di Mahkamah Sivil berkata beliau kurang bersetuju dengan cadangan itu jika kerajaan negeri tidak mengambil pandangan daripada ulama beserta hukum atau nas-nas yang menyokong cadangan tersebut.
    
Peguam itu menegaskan prosedur di Mahkamah Sivil berhubung proses perceraian akan mengambil masa yang agak lama dan ada yang berlanjutan sehingga dua tahun dan jika seseorang itu meninggal dunia di dalam proses hendak memeluk agama Islam, siapakah yang harus dipertanggungjawabkan dalam perkara itu.
    
"Perkara ini tidak boleh dibuat secara terburu-buru kerana ia juga melibatkan satu kes mualaf lagi di Mahkamah Pesekutuan yang masih belum selesai.

Sepatutnya cadangan itu dibuat selepas mahkamah mengeluarkan keputusannya," katanya.
    
Ia berhubung kes seorang wanita beragama Hindu, S. Deepa yang terlibat dalam perebutan hak penjagaan anak dengan bekas suaminya Izwan Abdullah, yang memeluk Islam atau N. Viran ketika beragama Hindu.
    
Katanya kes itu masih belum didengar di Mahkamah Persekutuan.
    
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia Datuk Zainul Rijal Abu Bakar juga mempunyai pandangan sama dengan Mohamed Haniff agar kerajaan Negeri Sembilan berbincang cadangan itu dengan pihak yang berkepentingan seperti NGO Islam dan saudara baharu sebelum melaksanakan cadangan itu.
    
"Pada pandangan saya cadangan itu perlu diperhalusi lagi kerana dikhuatiri ia akan memberi kesan kepada orang mualaf. Hak seorang mualaf harus diberikan kepada mereka sebagaimana hak seorang Islam," katanya.
    
Zainul Rijal berkata perlu juga dilihat bahawa pada ketika ini, individu yang memeluk Islam tidak mempunyai hak di bawah Seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 iaitu undang-undang keluarga bukan Islam.
    
"Jadi bagaimana mereka boleh menyelesaikan perceraian mereka? Bagaimana pula kalau suami isteri memeluk Islam dan tidak mahu bercerai? Saya juga menyarankan agar kerajaan Negeri Sembilan berbincang hal ini dengan pihak yang berkepentingan seperti NGO Islam dan saudara baharu sebelum melaksanakan perkara ini," katanya.
    
Bagaimanapun Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang berkata persatuan itu tiada masalah dengan cadangan kerajaan negeri itu kerana niat utamanya untuk menjaga kepentingan Islam.
    
Musa berkata individu yang mahu memeluk agama Islam, boleh mengucap dua kalimah syahadah tetapi pendaftaran mereka akan disimpan dahulu sehingga mereka menyelesaikan perkahwinan terdahulu di bawah Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.
    
"Selepas itu baru mereka akan diberi kad perakuan masuk Islam dan memperoleh keistimewaan sebagai seorang mualaf," katanya.
    
Beliau juga meminta supaya masyarakat memberi peluang kepada kerajaan Negeri Sembilan untuk melaksanakan cadangan itu terlebih dahulu.
    
"Kita lihat keberkesanannya. Jika berkesan, negeri-negeri lain boleh amalkan prosedur yang sama," katanya. - BERNAMA

Share on Myspace