Bungkusan babi: K'jaan negeri puji jemaah Masjld Telaga Air

HARAKAHDAILY | .

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang memuji jemaah Masjld Telaga Air di Butterworth atas kejayaan mereka memberkas seorang lelaki yang telah membaling satu bungkusan yang dipercayai mengandungi daging babi ke dalam kawasan masjid tersebut awal pagi semalam.

"Kerajaan negeri mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan jenayah yang tidak bertamadun itu," ujar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Katanya, pihak polis mesti mengambil tindakan tegas terhadap lelaki tersebut yang dipercayai mengalami masalah mental dan yang telah menunjukkan sikap tidak menghormati agama serta mengancam keharmonian agama dalam masyarakat.

Menurutnya, kejadian itu ketiga tahun ini di mana rumah-rumah ibadat telah dinodai dan diserang.

Beliau berkata, dua kejadian awal telah berlaku di Wat Buddha Siam di Tanah Liat, Bukit Mertajam dan di Kuil Hindu Kaliamman di Pokok Machang, Tasek Gelugor.

"Kedua-dua serangan itu berpunca daripada lelaki yang turut dipercayai mengalami masalah mental, di mana dia telahpun ditangkap oleh polis," katanya lagi.

Tambahnya, tindakan tegas dan pantas perlu diambil terhadap mereka yang melakukan perbuatan yang merosakkan dan tidak diingini itu kerana ia telah mengancam keharmonian agama dan rumah-rumah ibadat.

Bagaimanapun beliau yakin warga Pulau Pinang cukup matang untuk memastikan keharmonian kaum dan agama terus kekal manakala keamanan dipertahankan apabila rakyat tidak mudah terpengaruh dan terjejas dengan perbuatan-perbuatan yang tidak diingini serta merosakkan itu.

"Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan bekerjasama secara aktif dengan semua pihak yang terbabit untuk memastikan serangan-serangan ini tidak akan menjejaskan perpaduan dan kestabilan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 7/2/2015

Share on Myspace