Syor tambang percuma kepada pelajar sekolah

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemandu Bas Pelancong 1Malaysia (Baspel) mencadangkan penyedia perkhidmatan bas awam memberikan tambang percuma kepada pelajar sekolah sebagai membantu meringankan beban pengguna iaitu ibu bapa.

Presiden Baspel, Noraizam Abdul Kadir berkata cadangan itu akan mengurangkan beban ibu bapa sebagai pengguna apabila tidak lagi perlu menyediakan wang tambang yang banyak buat anak mereka ke sekolah.

"Baspel mencadangkan supaya penyedia perkhidmatan bas awam memberikan tambang percuma kepada anak-anak pelajar sekolah yang memakai pakaian sekolah pada hari persekolahan supaya dapat meringankan beban ibu bapa (pengguna)," katanya dalam program Ruang Bicara di Bernama TV bertajuk 'Pengguna Lestari' di sini, semalam.

Katanya cadangan ini bagaimanapun tidak akan menjejaskan pendapatan pengusaha bas sekolah kerana majoriti pelajar yang menaiki bas awam terdiri daripada pelajar sekolah menengah.

"Kita bukan mahu menyekat sumber pendapatan mereka tetapi hanya mahu mencari jalan alternatif dan penyelesaian situasi menang-menang agar ibu bapa (pengguna) dan pengusaha bas sekolah mendapat manfaat yang sama.

"Pengusaha bas sekolah tidak perlu khuatir periuk nasi mereka akan terjejas kerana anak-anak di sekolah rendah masih menggunakan perkhidmatan mereka memandangkan ia menjamin keselamatan dengan penghantaran ke pintu rumah," katanya.

Menurut Noraizam, bagi merealisasikan cadangan ini pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan pihak pengusaha bas sekolah dan bas awam perlu duduk berbincang dan mengenal pasti mekanisme terbaik pelaksanaan cadangan ini.

Januari lepas, Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM) menegaskan mereka enggan menurunkan kadar tambang bas sekolah kerana mendakwa peningkatan kos operasi dan alat gantian kenderaan yang meningkat sehingga 100 peratus.

Presiden PPPBSM, Amali Munif Rahmat mendakwa, pengusaha-pengusaha bas perlu menaikkan kadar tambang bagi menampung kerugian yang terpaksa ditanggung akibat peningkatan kos operasi sejak 2012.

Jelas beliau, tindakan itu juga wajar memandangkan tambang bas tidak pernah dinaikkan sejak lima tahun lalu. - Bernama

Share on Myspace