1MDB: Siasat dana dari Pulau Cayman tidak dibawa balik

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendesak supaya satu siasatan segera dibuat oleh Bank Negara Malaysia berikutan pengesahan bahawa dana dari Pulau Cayman tidak kembali ke Malaysia.

Beliau merujuk kepada laporan akhbar Singapura, The Business Times hari ini melaporkan bahawa CEO 1MDB, Arulkanda Kandasamy mengesahkan wang berjumlah RM3 bilion dari Pulau Cayman tidak akan dibawa balik.

Ini, katanya bertentangan dengan kenyataan awal 1MDB yang mengesahkan bahawa wang tersebut telah dibawa balik setelah 1MDB dikecam kerana terlibat dalam urusniaga yang tidak telus di Pulau Cayman.

Tambahnya, tindakan 1MDB itu perlu diambil tindakan yang serius oleh Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia.

"Saya sudah berkali-kali mendesak Bank Negara Malaysia mengesahkan sama ada dana itu betul-betul telah dibawa pulang atau tidak," ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, kenyataan CEO 1MDB hari ini bukan sahaja menunjukkan pelaburannya bermasalah, lebih teruk ia memberi gambaran bahawa pengurusan 1MDB tidak telus dan menyembunyikan perkara dari rakyat. - HARAKAHDAILY 7/2/2015

Share on Myspace