Polis Kelantan pergiat usaha buru Nuar Ayam

BERNAMA | .

KOTA BAHARU: Polis Kelantan kini giat memburu seorang suspek dikenali sebagai Nuar Ayam yang dipercayai terbabit dalam kejadian samun dan bunuh di sebuah kedai perkakasan di Bachok Khamis lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata operasi untuk mengesan lelaki berusia 37 tahun itu telah digerakkan sehingga ke kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.

"Kita perketatkan (kawalan) kawasan sempadan dan adakan operasi untuk buru dia (Nuar Ayam). Saya telah maklumkan kepada semua anggota di seluruh daerah kerana ada kemungkinan dia akan lari ke negeri lain.

"Setakat ini kami mempunyai perkembangan positif terhadap kes ini, cuma beri kami sedikit masa," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Rekrut Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) Kontinjen Kelantan Siri 1/2014 di Dataran Kawad Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA), Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Beliau berkata polis juga sedang mengesan identiti dua lagi suspek yang terlibat dalam kes berkenaan, dipercayai berusia di bawah 30-an dan mereka ini membawa dua senjata api dan sebilah parang ketika kejadian.

Dalam kejadian pukul 5.45 petang itu, seorang peniaga terbunuh manakala anak perempuannya cedera selepas ditembak dalam kejadian samun melibatkan tiga lelaki bertopeng di kedai tersebut.

Peniaga itu, Mustaffar Sidek, 52, ditembak di perut dan paha kanan, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini, pada pukul 7.40 malam hari kejadian.

Anak mangsa dikenali sebagai Ainul Wahida, 18, ditembak di lutut sebelah kanan dan dihantar ke hospital sama untuk rawatan dan kini dilaporkan stabil.

Isteri mangsa, Norhaizan Mat Zin, 45, dan seorang pembantunya, Mohd Azrien Mohd Nasir, 27, yang digari oleh penjenayah itu bagaimanapun tidak dicederakan. - Bernama

 

Share on Myspace