Menjawab kenyataan Noor Farida berkait isu hudud

MOHD NASAIE ISMAIL | .

Saya merujuk kenyataan Datuk Noor Farida Ariffin jurucakap G-25 berkait isu hudud.

1. Kenyataan beliau bahawa, "pesalah laku seks kanak-kanak akan berkerumun di Kelantan kerana di sana mereka boleh rogol kanak-kanak atau orang dewasa".

Kenyataan ini sangat prejudis, menghina dan jauh daripada bersifat ilmiah. Sepatutnya beliau yang berucap mewakili golongan cendikiawan G-25 berhujah secara rasional dan bukan dengan sentimen yang penuh buruk sangkanya terhadap hudud. Rujukan beliau bahawa pesalah rogol akan mudah terlepas hukuman disebabkan hanya empat saksi diterima dan bukti saintifik ditolak, jauh menyimpang daripada maksud sebenar. Beliau memberi gambaran mudahnya perogol dibebaskan, sedangkan banyak peringkat hukuman lain seperti takzir yang akan dilalui oleh pesalah tersebut. Tambahan pula empat saksi hanya diperlukan untuk sabitan kes zina. Manakala rogol adalah kes yang berlainan. Ia boleh disabitkan dengan:

a) Hudud (kerana zina)
b) Hirabah (kerana memeras)
c) Qisas (jika mencederakan atau menyebabkan kematian)
d) Diat (denda gantirugi)

Kepelbagaian kes ini boleh disabitkan melalui pelbagai kaedah mengikut pertuduhan. Ertinya kes rogol adalah jauh lebih mudah disabitkan berbanding kes zina.

Saya keliru, kerana selama ini beliau mempromosikan Malaysia yang sederhana dan menolak tindakan ekstrim yang akan merosakkan masa depan Malaysia. Tetapi ucapan beliau tersebut menggambarkan beliau sendiri terjerumus kepada bersikap ekstrem, emosional dan berlaku tidak adil kepada pihak lain.

2. Kita juga menuntut Datuk Noor Farida kemukakan satu solusi penyelesaian kepada jenayah yang berleluasa dalam negara kita. Jika anda menolak hudud sebagai penyelesaiannya, adakah ada solusi yang lain yang boleh dikemukakan yang terbukti berkesan mencegah jenayah dan beri keadilan kepada semua pihak.

3. Pemuda PAS Malaysia juga menjemput Datuk Noor Farida Ariffin untuk berdialog berkenaan isu hudud ini untuk menjelaskan kekeliruan dalam hal ini. Harapan kami agar pelawaan ini diterima sejajar dengan perjuangan beliau untuk melihat Malaysia yang lebih sederhana, bebas ekstrimisme dan memberi keadilan untuk semua pihak.

8.45 pm
7 Februari 2015

Penulis ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia.

Share on Myspace