Hudud dapat beri keadilan pada Anwar

IZWAN ABDUL HALIM | .

ALOR SETAR: Pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan bukan sahaja akan menyelesaikan isu-isu jenayah dan sosial, tetapi juga diharap menjadi wacana kesedaran masyarakat negara ini terhadap keberkesanan hudud.

Malah, ia akan dilihat sebagai wadah mencari keadilan sebenar kepada mereka yang teraniaya oleh kekurangan pada perundangan konvensional, demikian harapan dilontarkan Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Kedah, Ustaz Mohd Azam Abd Samat.

“Misalnya isu tuduhan liwat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim yang penuh dengan kecurigaan. Sudah bertahun-tahun. Sedangkan beliau akan mendapat keadilan sebenar hanya menerusi hudud.

“Jika hudud dilaksana sejak dahulu, sudah tentu Anwar tidak akan dibelenggu dengan tuduhan itu secara berulang-ulang dan berpanjangan begini. Sudah tentu juga dia tidak akan menjadi penghuni Penjara Sungai Buloh. Ia soal keadilan.

"Keadilan hudud telah termaktub sejak 1,400 tahun lampau dan secara spontan kita sudah boleh menjangka kes seperti itu pasti ditolak syarak. Berbeza dengan yang dihadapi Anwar sekarang, tiada siapa dapat meletakkan kepastian terhadap keputusan beliau bakal terima," terangnya yang juga Adun Sungai Limau, Kedah.

Katanya, hanya dengan pelaksanaan hudud akan menghapuskan prejudis dan dogma bohong terhadap perundangan Islam itu.

Menurut beliau, pelaksanaan undang-undang itu nanti sudah pasti dapat menangkis dakyah dilakukan oleh Umno dan mereka yang bersetuju dengannya untuk menakutkan masyarakat bukan Islam di negara ini.

Kerana tegasnya, Enakmen Jenayah Syariah yang akan dilaksanakan di Kelantan tidak melibatkan masyarakat bukan Islam.

Sebaliknya bagi orang Islam pula ujar beliau, wajib meyakini hanya undang-undang Allah dapat menyelesaikan masalah khususnya jenayah yang berlaku dalam masyarakat.

“Syariat yang ditegakkan, bukan bermatlamatkan menghukum tetapi lebih kepada mendidik, mencegah dan memelihara ke arah kehidupan yang lebih sejahtera. Pelaksanaan syariat juga adalah sebagai satu bentuk dakwah yakni akan menzahirkan kesyumulan dan keadilan Islam.

“Ia akan menyebabkan masyarakat cenderung menjadikan Islam sebagai cara hidup mereka dalam segenap kehidupan; menjadikan halal dan haram, dunia dan akhirat sebagai penilaian dalam setiap tindakan mereka di dunia.

“Secara tidak langsung, masyarakat bukan Islam akan melihat cahaya keadilan Islam dan tidak mustahil, suatu masa akan mereka akan memilih sistem perundangan Islam sebagaimana hari ini mereka memilih perbankan Islam dalam urusan kewangan mereka dan lain-lainnya,” tegas Ustaz Mohd Azam.

Tambahnya lagi, beliau yakin bahawa Kelantan akan menjadi model menerusi pelaksanaan tersebut, tetapi mengingatkan seluruh masyarakat Islam di negara ini bahawa tanggungjawab menegakkan syariat Allah itu terpikul kepada semua mukmin, bukan hanya rakyat Kelantan semata-mata.

Oleh itu serunya, sebarang pandangan, bantuan dan pertolongan mesti diberikan oleh seorang beriman untuk menjayakan kewajipan tersebut. – HARAKAHDAILY 8/2/2015

Share on Myspace