Tunku bantu hilangkan gagap saya - Pak Samad

| .

 

KUALA LUMPUR: Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said mengimbau kenangan bersama negarawan, Tunku Abdul Rahman yang disifatkan sebagai seorang yang mesra wartawan.

Beliau yang mesra dipanggil Pak Samad menceritakan detik-detik pertemuan dengan perdana menteri pertama itu ketika menjadi wartawan pada tahun 1950-an dan 1960-an, termasuk ketika Tunku 'membantu' menghilangkan gagap bercakap pada usia mudanya.

"Tunku pernah tegur saya ketika saya menjadi wartawan dulu. Bila saya bertanya soalan, saya ‘stammer’, jadi dia kata ‘Samad, cakap Samad, kenapa tak cakap. Cakap ini, ayat tu sama, hurufnya pun sama, cuma perlahan bila bercakap’.

“Untuk itu saya berterima kasih kepada Tunku Abdul Rahman,” ujar Pak Samad disambut ketawa hadirin.

Pak Samad bercerita demikian dalam forum anjuran Roketkini.com, akhbar rasmi DAP bagi meraikan tarikh lahir yang sama untuk kedua-dua tokoh nasional itu di sebuah hotel dekat sini, petang semalam.

Tarikh lahir dua tokoh itu jatuh pada 8 Februari walaupun tahun berlainan.

Dalam forum ‘Tunku dan Pak Samad; Mengenang Negarawan, Meraikan Sasterawan’ itu juga, Pak Samad berkata, perbezaan beliau dengan Tunku ialah beliau seorang murbawan manakala Tunku ialah bangsawan.

“Perbezaan saya dengan Tunku ialah dia bangsawan, saya ini murbawan.

“Tunku belajar di London, di luar negeri. Saya pula belajar di Singapura, di dalam negeri (sewaktu Singapura dan Malaya di bawah pentadbiran British).

“Dia kuasawan manakala saya sasterawan,” ujar Pak Samad, membandingkan dirinya dengan Bapa Kemerdekaan dari golongan bangsawan itu.

Pak Samad kini dikenali sebagai Sasterawan Rakyat apabila beliau memilih untuk berjuang menentang dasar-dasar kerajaan yang dilihat zalim dan tidak mencerminkan Malaysia yang satu waktu dahulu sangat harmoni dan saling menghormati.

Beliau memilih untuk bersama dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) walaupun diganggu gugat oleh kumpulan-kumpulan pro-BN serta daripada pihak berkuasa sendiri.

Pak Samad juga pernah menyatakan, beliau tidak keberatan jika gelaran ‘Sasterawan Negara’ ditarik balik dari dirinya kerana dilihat melawan kerajaan. Dalam kalangan sesetengah masyarakat, beliau yang sudah berusia 83 tahun itu kini dianggap seolah-olah musuh negara.

Sindirannya terhadap Umno turut membawa hadirin menyedari bahawa masih ada sifat parti pemerintah itu yang tidak pernah berubah, khususnya dalam satu majlis pimpinan Umno menjemput Pak Samad ke Alor Setar, Kedah untuk deklamasi puisi hari jadi Tunku Abdul Rahman.

Selepas membacakan sajak yang ditulis dan dideklamasikan itu, beliau mengakhiri ucapannya semalam dengan berkata:

“Dulu saya rapat dengan Umno (senyum)…mereka menjanjikan RM3,000 untuk saya tulis dan deklamasi sajak untuk Tunku.

“Namun, sehingga ke hari ini saya tak pernah mendapat bayaran dari Umno,” ujarnya disambut dengan ketawa hadirin, walaupun tidak dapat dipastikan sama ada beliau berseloroh atau benar-benar serius dalam senyumannya.

Turut bersama dalam forum tersebut ialah Ketua Parlimen DAP, Lim KIt Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Mujahid Yusuf Rawa yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar, Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dan wakil Badan Peguam Malaysia, Datuk Ambiga Sreenevasan. - HARAKAHDAILY 8/2/2015

Share on Myspace