Peguam yakin keputusan akan memihak Anwar

SURIATI SIDEK AHMAD | .

 

KUALA LUMPUR: Bersalah atau tidak? Selasa ini Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disabitkan oleh Mahkamah Rayuan bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, akan tahu sama ada beliau akan meringkuk dalam tirai besi atau bebas.
    
Ini akan terjawab pada 10 Feb ini apabila Mahkamah Persekutuan menyampaikan keputusan yang ditunggu-tunggu berhubung rayuan terakhir Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya itu, tujuh tahun lepas.
    
Seorang daripada peguam bela Anwar, Ramkarpal Singh Deo semasa dihubungi Bernama berkata pasukan pembelaan "yakin keputusan akan memihak kepada anak guam mereka".
    
Ditanya sama ada pihak pembelaan akan memfailkan semakan terhadap keputusan mahkamah tertinggi itu jika Anwar gagal dalam rayuan akhirnya itu, peguam itu berkata ia akan bergantung pada alasan penghakiman yang mereka perlu teliti sebelum memutuskan untuk memfailkan semakan.
    
Peraturan 137 Peraturan-Peraturan Mahkamah Persekutuan 1995 membenarkan pihak yang kalah untuk memohon semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan.
    
Walaupun Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa untuk menyemak keputusannya sendiri bagi mencegah ketidakadilan dan salah guna proses mahkamah, umumnya ini hanya akan dilaksanakan dalam keadaan amat luar biasa.
    
Sementara Zamri Idrus yang merupakan peguam pemerhati bagi Mohd Saiful, berkata beliau akan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah dalam membuat keputusan berdasarkan autoriti hujahan dan keterangan dikemukakan di mahkamah.
    
Pada 7 Nov tahun lepas, panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, menangguhkan keputusannya selepas mendengar hujahan daripada 15 peguam yang mewakili Anwar diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas hakim Mahkamah Persekutuan.
    
Pasukan itu termasuk tiga anak peguam terkemuka mendiang Karpal Singh yang mengetuai pasukan peguam bela Anwar dalam kes itu sehingga kematiannya pada 17 April 2014. Peguam kanan itu terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Perak.
    
Mereka ialah Ramkarpal, Sangeet Kaur Deo dan Gobind Singh Deo, manakala peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pendakwaan.
    
Empat lagi hakim dalam panel itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan tiga hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.
    
Pendengaran rayuan Anwar yang awalnya ditetapkan selama dua hari dari 28 Okt  2014 telah berlarutan selama lapan hari ekoran pihak pembelaan dan pendakwaan mengemukakan hujahan panjang lebar dan banyak kes undang-undang dijadikan rujukan dalam rayuan itu.
    
Mahkamah tertinggi di negara ini akan menyampaikan keputusan sama ada membenarkan atau menolak rayuan Anwar untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara diputuskan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun lepas, selepas ia mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskannya.
    
Sekiranya Anwar gagal dalam rayuannya, beliau akan lucut kelayakan sebagai Anggota Parlimen (MP) Permatang Pauh mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa seorang MP akan lucut kelayakan sekiranya dijatuhi hukuman penjara lebih setahun atau didenda lebih RM2,000.
    
Pihak pendakwaan turut memfailkan rayuan balas untuk menambah tempoh hukuman penjara. Bagaimanapun, perkara itu hanya akan didengar sekiranya Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
    
Mahkamah Rayuan mendapati Anwar, 67, bersalah terhadap pertuduhan meliwat Mohd Saiful, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
    
Pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
    
Sebanyak 27 saksi pihak pendakwaan termasuk saksi utama Mohd Saiful, dan lapan saksi pihak pendakwaan termasuk Anwar memberikan keterangan dalam perbicaraan yang berlarutan hampir tiga tahun di Mahkamah Tinggi yang turut mendapat perhatian seluruh dunia.
    
Pada 9 Jan 2012, Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan itu atas alasan mahkamah tidak pasti 100 peratus dengan sampel yang diambil daripada mangsa bagi ujian DNA.
    
Mahkamah memutuskan bahawa sampel itu mungkin telah diganggu atau tercemar sebelum ia sampai ke Jabatan Kimia untuk analisis.
    
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mensabitkan Anwar terhadap pertuduhan meliwat itu, memutuskan bahawa hakim perbicaraan telah terkhilaf dalam dapatannya berhubung sampel itu yang dibuat berdasarkan keterangan dua pakar yang merupakan saksi pihak pembelaan.
    
Ini merupakan kes liwat kedua dihadapi Anwar. Dalam kes pertama, beliau didapati bersalah meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar, di Tivoli Villa, di sini pada 1994, dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2000.
    
Mahkamah Tinggi memerintahkan Anwar menjalani hukuman itu selepas selesai menjalani hukuman penjara enam tahun bagi kesalahan rasuah. Beliau didapati bersalah terhadap empat pertuduhan rasuah pada 4 April, 1999.
    
Bagaimanapun, selepas menjalani hukuman penjara hampir enam tahun bagi kesalahan rasuah, Anwar dibebaskan pada 2 Sept, 2004 apabila Mahkamah Persekutuan, diketuai Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad yang kemudian dilantik menjadi Ketua Hakim Negara, membatalkan sabitannya dan mengetepikan hukuman penjaranya bagi pertuduhan meliwat Azizan, dalam keputusan majoriti  2-1.
    
Abdul Hamid dan Hakim Tengku Baharudin Shah Tengku Mahmud membuat keputusan yang memihak kepada Anwar manakala Hakim Datin Paduka Rahmah Hussein tidak memihak kepadanya.
    
Bagaimanapun, Abdul Hamid, yang menulis penghakiman majoriti itu, berkata para hakim mendapati Anwar dan tertuduh bersama Sukma Darmawan Sasmitaat Madja "terlibat dalam aktiviti homoseksual" dan para hakim cenderung untuk mempercayai bahawa kejadian liwat yang didakwa itu sebenarnya berlaku. - BERNAMA

Share on Myspace