Mesyuarat AJK PAS Pusat bincang muktamar

| .

KUALA LUMPUR: Mesyuarat bulanan Jawatankuasa PAS Pusat pagi tadi berbincang mengenai muktamar parti itu yang akan berlangsung pada awal Jun nanti.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, mesyuarat yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hanya membincangkan perkara-perkara asas membabitkan parti itu.

"Mesyuarat hari ini kita bincang perkara biasa seperti keahlian baru termasuk kewangan.

"Selain itu turut dibincangkan adalah muktamar yang kita akan adakan pada hulan Jun nanti," katanya.

Beliau turut memberitahu, muktamar pada tahun ini akan diadakan di Selangor dan beberapa cadangan tempat diberikan termasuk di Kuala Selangor.

"Lokasi kita akan bincang di mana diadakan nanti, termasuk pemilihan yang ada perubahan tetapi tidak banyak," katanya kepada pemberita di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Sementara itu ketika ditanya mengenai agenda mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat petang ini, beliau berkata ia lebih kepada agenda untuk memperkukuhkan kerjasama ketiga-tiga parti.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat mengadakan mesyuarat sebelum rayuan kes beliau diputuskan Mahkamah Persekutuan pada Selasa ini.

Mustafa berkata, memandangkan PAS Pusat mengadakan mesyuarat di pejabat parti itu hari ini, Anwar bersetuju mesyuarat kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat diadakan di tempat yang sama. - HARAKAHDAILY 8/2/2015

Share on Myspace