Mufti Perlis kritik kepimpinan Najib lemah berbanding Mahathir

| .

KUALA LUMPUR: Kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilihat lambat bertindak, tidak seperti yang ditunjukkan Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Mufti Perlis itu berkata, jika Najib tidak membaiki corak kepimpinannya, maka tidak mustahil Malaysia akan terus dilanda masalah. 

“Ini soal masalah kepimpinan. Najib lambat. Saya suka cara (bekas Perdana Menteri) Tun (Dr Mahathir Mohamad).

“(Sekarang) dekat bertumbuk, baru hendak buat keputusan. Itu pun tidak konkrit, yang (boleh) menggambarkan kepimpinan yang bagus. Kita perlu pemimpin bijaksana, pintar, (dan) tangkas. Saya rasa Najib pada masa ini tidak dapat memimpin dengan baik.

"Jika cara kepimpinan begini berterusan, negara tidak akan henti dengan masalah. Jadi Najib (perlu) kemas kini kepimpinannya. Apa yang berlaku dalam negara kini tidak baik,” katanya dalam satu wawancara bersama Sinar Harian.

 Asri berkata, Najib perlu mengembalikan identitinya sebagai perdana menteri yang mewakili semua kaum.

 Katanya, apa yang dilihat kini dalam pentadbiran Najib adalah wujud kebocoran dalam aspek pentadbiran kerajaan.

 “Najib perlu kembalikan identiti beliau, perlu jadi PM untuk semua.

 “Ada majoriti, ada minoriti, ada hak orang Melayu. Lama juga Umno memerintah Tanah Melayu, okey saja, tiada kelemahan dan (tidak) timbul isu-isu begini,” katanya. - HARAKAHDAILY 8/2/2015 

Share on Myspace