Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II seiring agenda kebajikan rakyat

USTAZ DATUK AHMAD YAKOB | .

Pelaksanaan undang-undang islam di Negeri Kelantan yang diperjuangkan semenjak awal pentadbiran Kelantan Membangun Bersama Islam melalui Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) yang diluluskan secara rasmi dalam sidang Dun pada tahun 1993 adalah merupakan amanah rakyat Kelantan setelah ianya adalah amanah Allah yang tersurat dalam Al-Quran. Saya dan seluruh kepimpinan diperingkat Kerajaan Negeri pada hari ini meneruskan perjuangan murni ini dan ia menjadi agenda utama Kerajaan Negeri.

Untuk tujuan itu, Kerajaan Negeri telah mengadakan berkali-kali mesyuarat, perbincangan melalui Jawatankuasa Teknikal Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan bagi menyiapkan beberapa pindaan dalam enakmen tersebut dan alhamdulillah, kita telah berjaya menyiapkan satu tatacara lengkap pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah dan ia adalah yang pertama di dunia.

Baru-baru ini, Kerajaan Negeri telah menangguhkan sidang khas Dun Kelantan bagi membentangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (2014) ekoran banjir yang melanda. Dalam tempoh pemulihan ini yang juga menjadi agenda utama kerajan, sidang Dun Khas bagi tujuan pembentangan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (2015) tetap akan diteruskan pada Mac ini. Agenda kebajikan kepada rakyat pasca banjir diteruskan sebagaimana jadual kerajaan dan usaha ke arah pelaksanaan kanun jenayah juga diteruskan sebagaimana jadual yang ditetapkan.

Kanun Jenayah Syariah ini adalah arahan Allah dan ia menjadi kewajipan kepada setiap umat islam menegakkannya dalam masyarakat islam. Kewajipan ini seumpama kewajipan solat lima waktu yang tidak boleh dipertikai pensyariatannya. Solat wajib didirikan walaupun musibah melanda dan tidak boleh melengah-lengahkan solat apatah lagi mengesampingkannya dengan alasan untuk memberi laluan kepada semua mangsa musibah memperolehi hak kebajikan mereka secara sempurna. Begitulah juga hukum syariah termasuk Kanun Jenayah Syariah yang bakal dilaksanakan di Kelantan. Usaha penegakkannya dimuka bumi ini mesti berjalan seiring dengan agenda kebajikan dan kemasyarakatan yang lain.

Tidak berbangkit soal kerajaan kena tangguhkan atau biarkan dahulu pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah ini pada masa sekarang bagi memberi laluan kepada kebajikan mangsa banjir. Amanah ini sudah dua puluh dua tahun terpikul di atas bahu kami sejak ia diamanahkan oleh rakyat dan diberi mandat kepada kami untuk usahakan pelaksanaannya. Tambahan pula, enakmen tersebut telah melalui beberapa perbincangan melalui Jawatankuasa Teknikal, kita telah panggil pengamal undang-undang, pensyarah-pensyarah, NGO termasuk dalam parti dan pakatan bagi menelitinya.

Kini, sudah sampai masanya kita laksanakan Kanun Jenayah Syariah ini khususnya di Negeri Kelantan dan hanya untuk penganut agama Islam sahaja. Hal ini bagi mencegah pelbagai kemungkaran dan kes jenayah yang semakin berleluasa. Yakinlah, hanya undang-undang Allah sahaja yang mampu menyelesaikan kemelut yang dihadapi oleh masyarakat hari ini sama ada dalam kes jenayah ringan atau berat.

Menteri Besar Kelantan Darulnaim
Bertarikh: 18 Rabiul Akhir 1436/8 Februari 2015

Share on Myspace