Mesyuarat PR selepas keputusan rayuan kes Anwar

| .

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat hari ini memutuskan untuk membincangkan isu membabitkan pelaksanaan Hudud pada mesyuarat khas yang akan ditetapkan nanti.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu membabitkan pilihan paya pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan dibincangkan pada mesyuarat khas.

"Ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat mengesahkan komitmen kepada perjuangan Pakatan Rakyat sebagaimana yang telah dipersetujui dalam Agenda Bersama Pakatan Rakyat.

"Mesyuarat hari ini bersetuju bahawa semua keputusan yang dibuat oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dibuat berteraskan prinsip muafakat bersama.

"Atas semangat saling menghormati, keputusan yang dimuktamadkan sebegini menjadi asas keutuhan Pakatan Rakyat selama ini," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut berkata, bagi memperbaharui dokongan para penyokong, Pakatan Rakyat juga akan mengadakan Konvensyen Pakatan Rakyat pada 10 Mei nanti.

"Selain dua isu penting, kita juga berbincang isu berkaitan ekonomi dan juga isu kaum yang semakin merisaukan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Pakatan Rakyat akan mengadakan mesyuarat selepas 10 Februari ini selepas keputusan Mahkamah membabitkan kes fitnah liwat II Anwar.

"Menjelang hari keputusan Mahkamah Persekutuan dalam Kes Fitnah II, ketiga-tiga parti mengulangi tekad dan memberikan jaminan bahawa perjuangan bersama di dalam Pakatan Rakyat akan terus dipertahankan.

"Kami menegaskan bahawa perbicaraan ini adalah perbicaraan bermotifkan politik. Majlis Pimpinan juga bersetuju untuk bermesyuarat semula sejurus selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan pada 10 Februari nanti," kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Kebersamaan persefahaman mesyuarat petang ini ditandatangani Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Anwar dan Lim Guan Eng.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ketika ditemui berkata, mesyuarat hari ini berjalan dengan lancar.

"Hubungan baik semua pimpinan yang hadir, kebersamaan jelas wujud di dalam Pakatan Rakyat.

"Mesyuarat hari ini berlangsung dalam suasana yang baik," kata beliau.

Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Naib Presiden, Salahuddin Ayud dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta Ketua Penerangan, Datuk Mahfuz Omar termasuk Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat.

Sementara itu PKR pula dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden, Mohamad Azmin Ali, Setiausaha Agung, Rafizi Ramli, Naib Presiden, Tian Chua serta beberapa pimpinan lain.

DAP pula dihadiri Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Setiausaha Agung, Lim Guan Eng, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke termasuk Ahli Jawatankuasa, Gobind Singh Deo. - HARAKAHDAILY 8/2/2015

 

Share on Myspace