Sirul: PAS jumpa Kedutaan Australia esok

| .

 KUALA LUMPUR: PAS akan bertemu Kedutaan Australia, dekat sini esok bagi mengetahui perkembangan lanjut Koperal Sirul Azhar Umar yang kini ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Australia di Queensland.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, pertemuan tersebut akan diadakan pada jam 10.30 pagi.

"Esok kita akan mengunjungi Kedutaan Australia pada jam 10.30 pagi bagi mengetahui perkembangan terkini Sirul.

"Kita harap perbincangan esok akan memberikan gambaran jelas apa yang berlaku di sana," katanya kepada Harakahdaily ketika ditemui di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Pada 13 Januari lalu, Hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Sirul dan Cif Inspektor Azilah Hadri selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Mahkamah Persekutuan turut mengeluarkan waran tangkap ke atas Sirul Azhar yang disabitkan kesalahan membunuh Altantuya Shaariibuu, kerana gagal hadir ke mahkamah. - HARAKAHDAILY 8/2/2015

Share on Myspace