Banjir: Kelantan buat persiapan lebih awal

ASLANI M | .

KUALA KRAI: Kerajaan negeri akan membuat persiapan lebih awal bagi menghadapi kemungkinan banjir besar dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, fenomena alam yang tidak menentu sekarang membuatkan kerajaan negeri terpaksa membuat persiapan lebih awal.

“Apa pun kita mendoakan agar Allah tidak mendatangkan ujian banjir besar yang sememangnya tidak mampu dihadapi oleh kudrat kita,” katanya ketika merasmikan Kampung Angkatku di Kampung Manjor di sini, kelmarin.

Teks ucapannya dibaca anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi. Program itu dianjur bersama Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Tabung Amanah Tok Kenali (Tatok) dan Majlis Tindakan Dun Manek Urai.

Hadir sama Presiden Anak, Mazlan Aliman, Timbalan Speaker Dun Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman, Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah, Pesuruhjaya PAS Johor, Aminolhuda Hassan dan Pemangku Pengurus Tatok, Rusli Abdullah.

Program tersebut diadakan selama tiga hari membabitkan gotong royong membersihkan kubur, masjid, tadika dan rumah-rumah penduduk.

Sukarelawan membabitkan PAS Kuala Ketil, PAS Pasir Puteh, PAS Gua Musang, Kebajikan Rangkaian Bekas Anggota Tentera Malaysia (Kerabat) dan Badan Prihatin Hal Ehwal Orang Asal (Batin).

Kampung Manjor antara yang terjejas teruk akibat bah besar melanda Kelantan pada akhir Disember lepas.

Menteri Besar berkata, hujan lebat secara berterusan di Gua Musang pada 21 hingga 23 Disember lepas bersamaan kadar hujan selama 64 hari difahamkan hanya berlaku dalam tempoh 100 atau 50 tahun sekali.

“Akibatnya kawasan tadahan menjadi tepu dan tidak dapat menyerap air. Ditambah pula dengan fenomena bulan baru yang hampir dengan bumi memberi kesan peningkatan air laut setinggi 2 meter.

“Kemusnahan akibat banjir adalah yang terbesar di Kelantan yang memerlukan komitmen dan keprihatinan tinggi kerajaan negeri dan persekutuan,” ujarnya.

Mazlan berkata, pada awal Mac hadapan pihaknya akan berkampung di Limau Kasturi yang juga terjejas teruk akibat banjir.

Katanya, beliau bersama rakan-rakan sedang mengusahakan untuk mengumpul dana bagi membaik pulih rumah penduduk yang terjejas teruk akibat banjir di Manjor dan Limau Kasturi.

“Kedua-dua kampung dijadikan kampung angkatku bagi mempercepatkan proses pemulihan. Kedatangan sukarelawan dari seluruh Negara dihadap dapat membantu mangsa-mangsa banjir membina semula kehidupan,” katanya.

Kampung Manjor terletak di tebing Sungai Lebir. Ketika banjir akhir Disember lepas mereka berpindah ke Kampung Ragu yang terletak kira-kira 1 km.

Banyak rumah yang hanya tinggal tangga bata. Kesan-kesan lumpur juga masih jelas kelihatan. Kampung itu antara yang paling terjejas di Dun Manek Urai.

Sebahagian bantuan banjir yang diterima penduduk kebanyakan digerak PAS dan badan-badan bukan kerajaan.

Umno hanya agih tilam

Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kali kedua datang ke Manek Urai mingggu lepas, mangsa-mangsa banjir hanya menerima tilam dan bantal bertulis Putera 1Malaysia.

“Ada mangsa banjir terpaksa menunggu sehingga jam 3 pagi untuk mendapat tilam dan bantal tersebut. Treller yang membawa tilam tiba tiga hari lebih awal sebelum PM datang ke Manek Urai,” kata seorang penduduk.

Seorang lagi mangsa banjir bertanya bantuan pendahuluan Bantuan Rakyat 1Malaysia yang dijanjikan dibayar Januari lalu, belum diterima mereka sehingga sekarang. - HARAKAHDAILY 9/2/2015

Share on Myspace