Mesir tangkap sembilan anggota Ikhwan Muslimin

HARAKAHDAILY | .

PIHAK berkuasa Mesir telah menangkap sembilan anggota Ikhwan Muslimin di wilayah utara Sinai, demikian dilaporkan Press TV.

Menurut pejabat berita Mesir, semalam sembilan anggota Ikhwan tersebut dituduh menghasut kekerasan dan menyerang pasukan tentera dan polis.

Para penyokong Ikhwanul Muslimin mengalami tekanan yang meningkat oleh pemerintah Mesir mulai presiden negara pertama yang dipilih secara demokratik, Muhammad Mursi digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada Julai 2013.

Memetik laporan laman web Islampos, Ikhwan kemudian dimasukkan dalam senarai hitam sebagai organisasi pengganas oleh pejabat Kaherah dalam usaha untuk mencegah gabungannya maju dalam pilihan raya.

Kumpulan-kumpulan hak asasi manusia telah mengkritik pemerintahan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi yang melakukan tindakan keras terhadap para penunjuk perasaan anti-kerajaan dan menekan kebebasan bersuara di negara itu.

Kumpulan hak asasi manusia mengatakan tindakan keras terhadap para penyokong Ikhwanul Muslimin telah menyebabkan lebih daripada 1,400 orang terbunuh dan 22,000 ditangkap, sementara ratusan lainnya telah dijatuhi hukuman mati dalam mahkamah massa.

Pada awal bulan ini, mahkamah rayuan di Mesir menjatuhkan hukuman mati terhadap 183 penyokong Ikhwan Muslimin atas tuduhan penglibatan mereka dalam pembunuhan 13 anggota polis.

Share on Myspace