Ibu mahu jumpa Sirul sebelum hayat berakhir

MUHAMMAD FAIZAL | .

 

KUALA LUMPUR: PAS hari ini memohon Kedutaan Australia memberi jaminan keselamatan terhadap perjalanan Piah Samat, 74, ibu kepada Koperal Sirul Azhar Umar yang akan ke negara itu bila-bila masa.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata ibu Sirul mengharapkan agar beliau dapat bertemu dengan anaknya sebelum hayatnya berakhir.

"Hari ini kita memohon agar pihak Kedutaan Australia memberi jaminan keselamatan kepada ibu Sirul yang berhajat untuk bertemu anaknya di Australia.

"Kita juga berharap segala proses perjalanan ini diuruskan oleh pihak Kerajaan Australia tanpa ada sebarang gangguan pihak lain," kata beliau selepas mengunjungi pihak Kedutaan Australia di sini pagi ini.

Dalam pada itu, Mahfuz turut meminta agar kerajaan Australia memberi jaminan keselamatan kepada Sirul, jika negara itu berhasrat untuk membebaskan beliau dari tahanan sekarang.

"Hanya dua orang yang boleh mendedahkan apa yang berlaku di sebalik pembunuhan wanita warga Mongolia itu, iaitu Sirul dan juga Cif Inspektor Azilah Hadri.

"Ini merupakan satu ancaman besar kepada pihak yang merancang dan mempunyai motif pembunuhan tersebut.

"Atas dasar itulah kita mahu keselamatan sepenuhnya diberikan kepada Sirul sepanjang beliau berada di Australia," katanya lagi.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut berterima kasih kepada Timbalan Persuruhjaya Tinggi Australia, Dr Angela Macdonald yang memberi kerjasama baik dalam kunjungan beliau itu.

Turut serta dalam kunjungan itu adalah Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan juga Bendahari PAS Pusat, Asmuni Awi yang juga merupakan seorang Peguam. – HARAKAHDAILY 9/2/2015

Share on Myspace