Adun PAS tidak diberitahu bantuan kerajaan pusat

ASLANI M | .

KUALA KRAI: “Saya tidak pernah diberitahu berapa peruntukan yang telah diagih kerajaan pusat kepada mangsa-mangsa banjir di Dun Manek Urai,” kata wakil rakyat kawasan itu, Mohd Fauzi Abdullah.

Kata beliau khabarnya peruntukan lebih RM800 juta sudah diagih kepada mangsa banjir, namun tidak tahu ke mana jumlah itu telah disalurkan.

Menurutnya biar pun beliau sebagai wakil rakyat tempatan di kawasan yang paling terjejas akibat banjir akhir Disember lalu, namun tidak ada wakil rakyat pusat datang menemuinya.

“Tidak pernah sesen pun bantuan daripada pusat datang melalui pejabat wakil rakyat di sini. Segala bantuan kepada rakyat di sini disalur kerajaan negeri, NGO-NGO dan PAS dari luar Kelantan,” katanya di sini.

Sejak banjir besar melanda hulu Kelantan akhir tahun lepas, Datuk Seri Najib Razak sudah dua kali datang ke Manek Urai.

Kali terakhir minggu lepas Perdana Menteri mengagihkan mangsa-mangsa banjir tilam dan batal berjenama Putera 1Malaysia.

Sebelum itu ada mangsa banjir menerima khemah daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Penempatan sementara mangsa banjir di Kampung Manek Urai Baru pula diusahakan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli dan Mohd Fauzi.

Mangsa-mangsa banjir disediakan khemah sementara yang dilengkapkan dengan tandas dan tempat mandi. Penempatan itu dibina di lot berhampiran jambatan ke Manek Urai Lama.

Manakala sebuah lagi penempatan sementara sedang disiapkan di lot berdekatan.

Kerajaan negeri juga sudah mengenal pasti kawasan seluas sembilan ekar tidak jauh daripada pusat khidmat Dun di Manek Urai Baru.

Beberapa khemah juga dibina di perkarangan Pusat Khidmat Dun bagi menempatkan petugas sukarelawan yang datang dari seluruh negara.

Sebuah NGO Cina pula menyediakan rumah contoh sementara untuk mangsa-mangsa banjir di Kampung Manek Urai Lama.

Sebahagian besar mangsa-mangsa banjir di kampung itu masih lagi mendiami khemah sebagai tempat berteduh. Bagaimanapun sejak seminggu lepas mereka sudah menikmati bekalan elektrik 24 jam.

Bekalan air bersih disalurkan Air Kelantan Sdn Bhd sudah pulih sejak pertengahan Januari lepas.

Pada awal Januari lalu Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan memberitahu kerajaan membelanjakan kira-kira RM800 juta menerusi MKN bagi membantu mangsa di negeri-negeri yang terlibat dalam musibah banjir.

Menurutnya peruntukan berkenaan digunakan bagi membekalkan makanan, operasi logistik dan pembersihan rumah-rumah mangsa yang terlibat. - HARAKAHDAILY 9/2/2015

Share on Myspace