1/3 rakyat M'sia hidap darah tinggi terlebih makan garam

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Sepertiga daripada rakyat di negara ini menghidap penyakit hipertensi atau darah tinggi akibat mengambil garam berlebihan.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata kajian Kementerian Kesihatan menunjukkan penduduk Malaysia mengambil 8.7 gram garam sehari.

Ia adalah 1.7 kali lebih tinggi daripada lima gram garam sehari yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), katanya ketika menjadi tetamu khas program 'Ala Carte Pagi' terbitan Bernama Radio24 di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyarankan penduduk Malaysia agar mengambil tidak lebih daripada lima gram atau satu sudu teh garam sehari bagi membendung hipertensi.

"Sekiranya rakyat Malaysia tidak mengawal pengambilan garam, penyakit hipertensi itu akan menjadi lebih serius dan boleh mengundang kepada risiko kematian," katanya.

Dr Feisul berkata garam menjadi sumber utama sodium dalam kebanyakan makanan kegemaran rakyat di negara ini apabila ia dijadikan sebagai penambah perisa bagi menyedapkan makanan itu.

"Sebagai contoh, masyarakat pada masa sekarang lebih gemar makan di luar berbanding memasak sendiri, jadi masakan panas bergoreng yang mengandungi kandungan garam tinggi menjadi kegemaran mereka.

"Ditambah pula dengan lidah mereka yang telah terbiasa dengan makanan masin dan bergaram, apabila makanan bergoreng itu dikatakan 'tidak cukup rasa' mereka akan menambah kicap atau garam," katanya.

Dr Feisul berkata rakyat perlu mengurangkan pengambilan garam dengan menggunakan herba dan bahan perasa asli untuk menyedapkan makanan.

"Amalkan cara pemakanan sederhana yang kurang garam dan bersos ketika makan di luar," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menganjurkan Minggu Kesedaran Garam Sedunia dari 9 hingga 13 Mac ini bagi mewujudkan kesedaran bahayanya pengambilan garam secara berlebihan.

Seminar berkenaan pengambilan garam juga akan diadakan untuk orang awam pada 12 Mac ini bertempat di Kompleks KKM, Putrajaya dan masuk adalah percuma, katanya. - Bernama

Share on Myspace