Jadikan golf sukan rakyat, mampukah?

| .

KUALA LUMPUR: Masih banyak agenda sukan yang perlu difikirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi mengangkat Malaysia di mata dunia bukannya sukan golf semata-mata.

Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) Pemuda PAS Malaysia, Salman Saleh berkata, sukan sedia ada seperti bola sepak yang diminati rakyat negara ini masih lagi ketinggalan berbanding negara lain.

"Apa yang ada (sukan) sekarang ini kita angkat mereka hingga ke peringkat dunia, kita perkuatkan seperti bola sepak. Tetapi hari ini kaedah yang kita ada lemah dan ianya perlu disuntik oleh kerajaan," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau juga memberi contoh sukan squash negara yang begitu hebat sehingga berjaya menaikkan nama negara di persada dunia.

Begitu juga dalam sukan sepak takraw, katanya pendekatan baru yang diperkenalkan akhirnya membuahkan kejayaan kelmarin, setelah bertahun-tahun kemenangannya oleh negara jiran.

"Kita berjaya buat sedikit pembaikan, kesan yang baik sudah nampak. Kalau kita tumpukan sepenuhnya pada satu-satu sukan ia tidak mungkin mengecewakan," katanya.

Tambahnya, memandangkan sukan golf salah satu sukan untuk golongan elit sudah tentu memerlukan kos yang tinggi termasuk logistik dan penyediaan infrasturktur.

"Buat masa sekarang ianya tidak sesuai dilaksanakan, ianya akan dilihat lebih kepada pembaziran semata-mata," katanya.

Beliau tidak menafikan usaha untuk melatih sukan golf di peringkat sekolah satu langkah yang baik bagi tempoh jangka masa panjang bagi melahirkan pemain bertaraf dunia.

Sementara itu, cadangan Najib itu dikecam hebat oleh para netizen malah ada yang menyifatkan ia tidak masuk akal.

Ini kerana kos untuk sukan elit itu sangat malah malah ada yang mempersoal kemampuan rakyat membeli set golf seperti beg, kayu golf, kasut yang berharga mahal dengan kekangan hidup pada masa ini.
Rakyat kebanyakan juga tidak mampu untuk membayar yuran keahlian kelab golf tersebut.

Najib mahu sukan golf bukan hanya menjadi sukan elit malah menjadi sukan setiap lapisan rakyat Malaysia.

Pada masa sama, beliau mahu sukan itu didedahkan di peringkat sekolah bagi melahirkan lebih ramai pemain bertaraf dunia.

Menurut beliau, kerajaan telah menyalurkan RM2 juta kepada Persatuan Golf Malaysia bagi memastikan sukan terbabit menjadi sukan rakyat. - HARAKAHDAILY 9/2/2015

Share on Myspace