Suasana tenang, laungan 'bebas Anwar' kedengaran

HARAKAHDAILY | .

PUTRAJAYA: Suasana di hadapan kompleks Istana Kehakiman yang menempatkan Mahkamah Persekutuan kelihatan tenang dengan kehadiran para penyokong Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi ini.

Mereka berkumpul di pekarangan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan bergerak ke Istana Kehakiman sekitar jam 8.20 pagi.

Laungan 'bebas Anwar' kedengaran di samping mereka memegang kain rentang.

Keputusan rayuan akhir Anwar untuk mengetepikan hukuman penjara lima tahun yang dikenakan terhadap beliau di atas tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan akan diputusan Mahkamah Persekutuan pagi ini.

Menurut laporan Bernama, Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mengetuai panel lima anggota terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Shariff serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali, dijangka mengumumkan keputusan itu pada 9 pagi.

Mahkamah tertinggi itu akan memutuskan sama ada membenarkan atau menolak rayuan Anwar untuk mengetepikan sabitan kesalahan serta hukuman penjara yang dijatuhi Mahkamah Rayuan terhadapnya pada 7 Mac tahun lepas setelah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan beliau.

Sekiranya rayuan beliau ditolak, Anwar akan hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa seseorang anggota parlimen akan hilang kelayakan sekiranya beliau dikenakan hukuman penjara lebih setahun atau didenda lebih RM2,000.

Pihak pendakwaan juga memfailkan rayuan balas agar hukuman terhadap Anwar ditambah. Bagaimanapun, rayuan balas ini akan hanya didengar sekiranya Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan.

Anwar diwakili sepasukan 15 peguam diketuai bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Empat belas peguam lain ialah Ramkarpal Singh Deo, Gobind Singh Deo, Sangeet Kaur Deo, N.Surendran, R.Sivarasa, J.Leela, Latheefa Koya, Lim Choon Khim, Eric Paulsen, Michelle Yesudas, Shahid Adli Kamaruddin, Zaleha Al-Hayat, Jeremy Vinesh Anthony dan Mohamed Aliff Bolkin.

Pasukan pendakwaan diketuai peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang dibantu timbalan pendakwa raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria. - HARAKAHDAILY 10/2/2015

Share on Myspace