Anwar masuk bilik bicara 1 Mahkamah Persekutuan

HARAKAHDAILY | .

PUTRAJAYA: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelihatan memasuki Bilik Bicara 1 Mahkamah Persekutuan untuk mendengar keputusan rayuan beliau.

Begitupun, sehingga jam 9.30 pagi, panel anggota yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria bersama Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Shariff serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali belum bersidang.

Para pemimpin Pakatan Rakyat sudah ramai yang tiba.

Mahkamah Perekuuan akan memutuskan sama ada membenarkan atau menolak rayuan Anwar untuk mengetepikan sabitan kesalahan serta hukuman penjara yang dijatuhi Mahkamah Rayuan terhadapnya pada 7 Mac tahun lepas setelah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan beliau.

Sekiranya rayuan beliau ditolak, Anwar akan hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa seseorang anggota parlimen akan hilang kelayakan sekiranya beliau dikenakan hukuman penjara lebih setahun atau didenda lebih RM2,000.

Share on Myspace