Personaliti penting dalam perbicaraan kes Anwar

BERNAMA | .

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menyampaikan keputusan yang ditunggu-tunggu berhubung rayuan terakhir Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Berikut personaliti-personaliti penting dalam perbicaraan itu:

PANEL HAKIM LIMA ANGGOTA

1. Tun Arifin Zakaria

Ketua Hakim Negara, Mahkamah Persekutuan.

Dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 12 Sept, 2011. Arifin mengikuti pengajian undang-undang di University of Sheffield di United Kingdom. Sebaik menamatkan pengajian beliau menyertai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan Malaysia pada September 1974. Pada 1979 beliau melanjutkan pengajian Sarjana Undang-undang di University College, London dan Kursus Akhir Peguam di Council of Legal Education.

2. Tan Sri Md Raus Sharif

Presiden Mahkamah Rayuan.

Dilantik Presiden Mahkamah Rayuan pada 12 Sept, 2011. Md Raus menerima Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Malaya pada 1976 dan Sarjana Undang-undang dari London School of Economic pada 1987. Kerjaya beliau bermula dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada 1 Julai 1976.

3. Tan Sri Abdull Hamid Embong

Hakim Mahkamah Persekutuan.

Beliau diterima menjadi Barrister-at-Law di Society of Lincoln's Inn, London pada 1976 selepas menamatkan pelajaran sekolah menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Pada 14 Okt, 2009, Abdull Hamid dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, Malaysia. Kerjaya beliau dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan bermula pada 18 Okt, 1976 apabila beliau dilantik sebagai Pegawai Undang-undang sementara di Jabatan Peguam Negara.

4. Tan Sri Suriyadi Halim Omar

Hakim Mahkamah Persekutuan.

Beliau memperoleh Sarjana Muda Undang-undang di Warwick University dan Barrister at Law di Lincoln's Inn, London. Beliau memulakan kerjaya dalam bidang Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sebagai Pegawai Undang-Undang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Pada tahun 2006, beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia.

5. Datuk Ramly Ali

Hakim Mahkamah Persekutuan

Berkelulusan Akademik LL.B (Hons) Universiti Malaya pada 1978. Pada 1978 hingga 1982, beliau berkhidmat sebagai Majistret di Perak. Pada 2001 hingga April 2009, Ramly berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi sebelum dilantik secara rasmi pada 15 April 2009 sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia.

PASUKAN PEMBELA

1. Datuk Seri Gopal Sri Ram, menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan dari 2009 hingga 16 Feb, 2010. Beliau mempunyai keistimewaan sebagai peguam pertama dalam kalangan peguam swasta dilantik terus ke Mahkamah Rayuan ketika ia ditubuhkan pada 1994, tanpa pernah berkhidmat sebagai pesuruhjaya kehakiman atau hakim Mahkamah Tinggi.

2. Gobind Singh Deo, seorang peguam terkenal Malaysia dan ahli politik dan juga Anggota Parlimen Puchong, Selangor. Beliau anak kedua kepada peguam dan ahli politik DAP mendiang Karpal Singh. Gobind diterima menjadi Peguam Malaysia pada 1996, setahun selepas pulang dari Lincoln's Inn.

3. Ram Karpal Singh Deo, seorang ahli politik dan peguam Malaysia. Beliau anak kepada mendiang Karpal Singh dan adik Gobind Singh Deo. Beliau diterima menjadi peguam Malaysia pada 2000. Buat masa ini, beliau mengetuai firma guaman bapanya di Pudu Lama, Kuala Lumpur.

4. N. Surendran, 48, berkhidmat sebagai peguam selama 20 tahun sejak 1994. Beliau juga merupakan Anggota Parlimen Padang Serai, Kedah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

5. R. Sivarasa, merupakan seorang peguam dan juga anggota Parlimen Subang, Selangor dari PKR yang kerap kali mewakili Anwar dalam kes saman sivil. Beliau merupakan pengasas bersama Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan juga aktivis Hak Asasi Manusia.

6. Sangeet Deo Kaur

7. J Leela

8. Latheefa Koya

9. Lim Choon Kim

10. Eric Paulsen.

11. Michelle Yesudas.

12. Sahid Adli Kamaruddin

13. Zaleha Al-Hayat

14. Jeremy Vinesh Anthony

15. Mohamed Aliff Bolkin

PASUKAN PENDAKWA

1. Tan Sri Muhammad Shafee Muhamad Abdullah merupakan seorang peguam terkemuka di Malaysia. Beliau berkelulusan undang-undang dari Universiti Malaya pada tahun 1977. Shafee juga pernah menyambung pelajaran di London School Of Economics dan memperoleh ijazah Sarjana Undang-undang pada tahun 1984. Pada Julai 2013, beliau dilantik oleh Peguam Negara sebagai Pendakwa untuk mengetuai pasukan pendakwa dalam rayuan terhadap pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada pertuduhan liwat.

2. Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, memperoleh Sarjana Muda Undang-undang (LLB) dari Universiti Malaya dan adalah Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan (Operasi) Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara. Beliau memulakan perkhidmatan sebagai majistret pada 1985 dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun sebagai Timbalan Pendakwa Raya. - Bernama

Share on Myspace