ISA: Mahkamah kekalkan keputusan bersalah

| .

 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan keputusan bersalah ke atas 15 daripada 16 individu yang ditahan kerana kerana terlibat dalam perhimpunan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) enam tahun lalu.

Pada 22 Februari 2012, mereka dihukum penjara sehari dan denda RM2,000 selepas Hakim Ainul Shahrin Mohamad mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan keraguan melampaui munasabah terhadap pertuduhan itu.

Salah seorang orang kena tahan (OKT), Aiman Athirah Al-Jundi berkata, beliau menerima keputusan tersebut dan merakam ucapan terima kasih kepada pihak peguambela dan kesemua OKT yang bersatu hati sehingga kes selesai.

"Apa yang lebih penting, rakyat sedar perjuangan kita menentang ISA sehingga ISA dimansuhkan," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Malaysia kepada Harakahdaily.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman yang turut hadir ke mahkamah hari ini berkata, penghargaan harus diberikan kepada aktivis-aktivis yang berjuang menentang ISA ini.

"Kita hormati keputusan mahkamah dan ini membuktikan usaha memansuhkan ISA telah berjaya dan sumbangan aktivis-aktivis ini yang mengorbankan masa turun naik mahkamah tidak ternilai.

"Begitu juga pihak peguambela yang terdiri daripada Juham PAS yang bersungguh-sungguh dalam kes ini," katanya.

Turut hadir memberikan sokongan ialah Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Siti Mariah Mahmud yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, Ketua Dewan Muslimat PAS Johor, Norhayati Bachok, serta beberapa pimpinan PAS Johor.

Pada 3 Ogos, 2009, seramai 16 orang dihadapkan ke mahkamah dan didakwa di bawah Kanun Keseksaan kerana menyertai perhimpunan haram.

Selain itu, mereka juga dituduh di bawah Akta Polis 1967.

Mereka dikatakan berkumpul di tempat mereka ditahan antara jam 9 pagi dan 1.30 petang, pada 1 Ogos, 2009, di sekitar Masjid Negara dan Jalan Tunku Abdul Rahman, di Kuala Lumpur. - HARAKAHDAILY 10/2/2015

 

Share on Myspace