Keputusan mahkamah tidak patahkan semangat Pakatan Rakyat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan melemahkan Pakatan Rakyat malah parti gabungan PAS, PKR dan DAP itu akan terus bertekad dan beriltizam untuk melakukan perubahan politik di negara ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, Pakatan Rakyat akan terus mengukuhkan hubungan antara parti dengan melaksanakan program-program yang akan diatur.

"(Sebagai contoh) mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat akan berlangsung malam ini manakala mesyuarat Majlis Presiden pula akan diadakan dalam tempoh terdekat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Sambil menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai sesuatu yang mendukacitakan, Mustafa bagaimanapun menegaskan ia tidak akan mematahkan semangat pemimpin Pakatan Rakyat untuk melakukan perubahan politik di negara ini dan menamatkan era pemerintahan BN. - HARAKAHDAILY 10/5/2015

Share on Myspace