Anwar dipenjara lagi tidak lemahkan PKR - Azmin

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Akar umbi PKR merapat barisan di kala Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali juga berkata keputusan panel hakim lima anggota itu pada hari ini mengesahkan persepsi umum terhadap institusi kehakiman, lapor Selangorkini.

“Keputusan ini mengejutkan semua pihak, namun saya yakin rakyat Malaysia sedia maklum adakah keadilan telah diberikan dalam menjatuhkan hukuman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Walau bagaimanapun keputusan ini tidak melemahkan semangat pimpinan Pakatan Rakyat dan penyokong malahan ia mengukuhkan lagi semangat kita membawa perubahan demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia amnya,” kata beliau, ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Persekutuan, sesuai keputusan dibacakan.

Pada kemuncak perbicaraan yang berlarutan selama tujuh tahun, Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Shariff, Hakim Tan Sri Abdul Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali hari ini menolak rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi tuduhan meliwat bekas pembantu peribadi, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun 2008.

Pensabitan ini menjadikan kali kedua Anwar lucut kelayakan sebagai anggota Parlimen setelah didapati bersalah atas empat tuduhan rasuah dan dihukum penjara empat tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 14 April 1999.
 

Share on Myspace