Zunar ditahan polis, disiasat ikut Akta Hasutan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kartunis Zunar yang memiliki akaun Twitter 'Zoonar Cartoonist' di @zunarkartunis ditahan polis malam tadi akan disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.

Memetik laporan Bernama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), SAC Zainuddin Ahmad dalam kenyataan berkata, pemilik akaun twitter itu ditahan di Jalan Pantai Murni, Pantai Dalam, kira-kira 9.30 malam tadi. (Foto daripada blog Omak Kau)

Menurutnya, suspek ditahan di lokap Dang Wangi untuk permohonan reman hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosidur Jenayah (KPJ).

Zunar atau nama sebenar Zulkiflee SM Anwar UlHaque ditahan polis kerana dipercayai memuat naik kenyataan berbaur hasutan terhadap hakim dalam keputusan kes rayuan terakhir Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Sementara itu, The Malaysian Insider melaporkan Zunar berkata, pasukan polis tiba ke kediamannya di Kuala Lumpur kira-kira jam 9 malam.

“Polis datang ke rumah saya, mungkin akan masuk lokap malam ini,” kata Zunar kepada The Malaysian Insider sebelum telefon bimbitnya dirampas polis.

Isterinya, Fazlina Rosley pula memberitahu melalui Facebook prosedur reman akan dijalankan pada 9.00 pagi ini, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Fazlina berkata Zunar dibawa ke IPD Dang Wangi kira-kira jam 10.05 malam oleh lima anggota polis yang tiba di rumah mereka.

Dilaporkan, pihak polis turut merampas barang-barang kartunis itu.

Share on Myspace